"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 maut, 33 cedera dalam kemalangan di PLUS

Bernama

Kemalangan di KM204 arah utara berhampiran R&R Ayer Keroh itu membabitkan sebuah bas, treler dan MPV jenis Toyota Estima.
Keadaan kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang menyebabkan tujuh maut di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, malam tadi. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH: Tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Melaka Mohd Pisar Aziz berkata nahas itu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri tersebut membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.

“Lima mangsa merupakan pemandu dan penumpang Toyota Estima, membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.

“Manakala dua lagi mangsa masing-masing seorang pemandu bas persiaran dan wanita yang merupakan penumpang bas tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata semua jenazah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Pisar berkata 17 mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka, 10 mangsa ke Hospital Alor Gajah dan enam lagi ke Hospital Pantai Ayer Keroh.

Katanya, mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan polis masih mengenal pasti identiti kesemua mangsa terlibat.

Terdahulu Pisar berkata pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 8.45 malam, sebelum 27 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Difahamkan insiden itu mengakibatkan kesesakan lebih 10km di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.

Tiada ulasan: