KOSMO!
Detik Ursa Major senget ke sebelah bahagian selepas enjinnya meletup di Selat Gibraltar. - East2West
MADRID – Sebuah kapal kargo Russia yang membawa muatan misteri karam di Laut Mediterranean kelmarin, di antara Sepanyol dan Algeria selepas letupan berlaku, lapor portal berita MailOnline semalam.
Seramai 14 kru kapal Ursa Major telah diselamatkan, manakala dua lagi masih hilang.
Perisikan tentera Ukraine dan sumber Sepanyol menyatakan bahawa Ursa Major sedang menuju ke Syria untuk mengangkut keluar peralatan ketenteraan Russia dari negara itu berikutan kejatuhan diktator Bashar al-Assad.
Sumber Russia pula mendakwa bahawa ia menuju ke Vladivostok, dan membawa kren besar seberat 380 tan setiap satu.
Rakaman video menunjukkan detik kapal itu senget ke sebelah bahagian, selepas enjinnya meletup di Selat Gibraltar.
Lokasi kejadian diisytiharkan berbahaya untuk laluan perkapalan sehingga ketibaan kapal tentera Russia yang mengawal operasi menyelamat, lapor akhbar Sepanyol, La Verdad.
Ursa Major sebelum ini sering membawa senjata untuk tentera Russia dan dimiliki oleh Oboronlogistics, sebahagian daripada Kementerian Pertahanan negara itu.
Sementara itu, Menteri Luar Russia dalam satu kenyataan berkata, kapal itu karam selepas letupan di bilik enjin, manakala 14 daripada 16 anak kapalnya telah diselamatkan dan dibawa ke Sepanyol. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan