"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas buat onar tutup lubang kunci rumah orang lain guna 'gam super'

Agensi
LEE didakwa membuat onar dan kacau ganggu di rumah individu tidak dikenali.FOTO Agensi
LEE didakwa membuat onar dan kacau ganggu di rumah individu tidak dikenali.FOTO Agensi
Singapura: Seorang lelaki warga emas didakwa di mahkamah di Singapura kerana membuat onar dan menyebabkan gangguan dengan melakukan khianat menggunakan 'gam super' untuk menutup lubang kunci pada unit rumah pangsa individu yang tidak dikenalinya.

The Straits Times melaporkan, tertuduh, Lee Ah Cheng, 76, melakukan perbuatan itu pada 10 Julai lalu.

Kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian, Lee meninggalkan rumah dan menaiki bas ke Jurong East untuk bertemu rakannya, yang butirannya tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Lee menyedari dia tidak pasti nombor unit rakannya dan memutuskan untuk berjalan di sekitar kawasan kejiranan dengan harapan dapat terserempak dengan rakan itu.

Pada jam 10 malam, Lee menaiki lif ke tingkat tujuh blok rumah pangsa dan melihat koridor biasa di luar salah satu unit itu bersepah dengan beberapa almari.

"Berasa marah dan menganggap pemiliknya tidak bertanggungjawab, tertuduh mengeluarkan 'gam super' yang berada di dalam kotak rokoknya dan meletakkan ia (gam) pada kunci pintu pagar... untuk menutup lubang kunci itu," kata Timbalan Pendakwa Raya kepada mahkamah.

Lee kemudian pulang ke rumah dan perbuatannya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari unit kediaman mangsa.

Lewat petang itu, seorang wanita berusia 76 tahun menyedari lubang kunci ditutup ketika ingin membuka pintu pagar rumah untuk meletakkan beberapa keping kadbod di luar.

Seorang lagi wanita yang tinggal di rumah sama kemudian menghubungi polis dan dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa yang berlaku seterusnya, namun Lee didakwa di mahkamah atas kejadian itu pada Oktober.

Dalam kes berasingan, Lee turut didakwa kerana menyimbah campuran peluntur dan air ke arah rakan lelakinya yang berusia 66 tahun ketika mereka bertengkar.

Cecair itu memasuki mata rakannya, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kekal.

Lee dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda 1,000 dolar Singapura (kira-kira RM3,320) pada 19 Disember selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan setiap serangan dan melakukan perbuatan khianat.

Menurut rekod, ia bukan kali pertama Lee melakukan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Suhaily Abu Bakar berkata, Lee pernah dijatuhi hukuman penjara empat kali antara 1972 dan 2005 atas kesalahan kekerasan, termasuk menyerang dan melakukan perbuatan yang membahayakan orang lain.

Tiada ulasan: