Bernama
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai melakukan khianat dengan mengayun rantai besi ke cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Penang pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Timur Laut, Lee Swee Sake, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian 1.48 tengah hari itu daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pemandu kereta berkenaan.
“Wanita itu memberitahu ketika dia sedang memandu mendapati seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali secara tiba-tiba mengayun rantai besi ke cermin hadapan keretanya dan tidak pasti motif individu berkenaan berbuat demikian.
“Polis berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun itu pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan.
Susulan penahanan lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu, polis merampas satu unit rantai besi, topi keledar serta sehelai kemeja-T dan suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Dia kini direman tiga hari hingga 28 Dis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan