"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pengedar dadah menyamar jadi pegawai risik tentera

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sebahagian barangan dan dadah yang dirampas bersama suspek di kawasan Pekan Rantau Panjang pada Ahad lalu. FOTO IHSAN PGA
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menyamar sebagai pegawai risik tentera di kawasan Pekan Rantau Panjang di sini pada Ahad lalu.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika anggota PGA mendapati suspek menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lelaki itu mengaku dia merupakan pegawai risik tentera semasa diberkas.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, suspek hanya menyamar sebagai pegawai risik tentera di depan rakan-rakan dan ahli keluarga.

“Pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu menjumpai sepucuk pistol tiruan jenis Glock bersama kelopak dan satu plastik peluru airsoft.

“Selain itu, sebanyak 268 biji pil epam, barang berkaitan tentera seperti epolet pangkat, baju T dan ‘patch’ unit 617 tentera turut dijumpai di dalam beg suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, anggota PGA menjalankan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Batu di sini selepas menahan suspek.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu kemudian menjumpai sepucuk lagi pistol tiruan jenis Glock, satu plastik peluru airsoft, 234 biji pil epam, lapan biji pil kuda dan epolet pangkat tentera dengan dianggarkan keseluruhan rampasan bernilai RM6,580.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: