"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 warga India cuba seberang Sg Golok ke Thailand berjaya ditangkap

Bernama

KOTA BHARU: Tentera darat menahan dua warga India yang cuba menyeberangi Sungai Golok menuju ke Thailand, pada Ahad lepas.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kejadian berlaku pada 10.15 malam ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan di kawasan Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

“Pasukan yang melaksanakan rondaan mengesan tiga lelaki berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia yang cuba menyeberangi sungai tersebut menuju ke arah Thailand.

“Seorang daripada lelaki tersebut berjaya melarikan diri dengan menyeberangi sungai tersebut manakala dua lagi tidak sempat melarikan diri kerana bersama-sama mereka terdapat beg pakaian serta beberapa barangan milik peribadi,” menurut kenyataan.

Dua lelaki ditahan itu mendakwa ingin pulang ke negara asal melalui Thailand dan telah diaturkan oleh lelaki yang melarikan diri dipercayai ejen mengatur perjalanan mereka.

Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka memiliki pasport antarabangsa India yang masih sah hingga 2028 dan memasuki Malaysia pada 2022 melalui pintu masuk yang sah menggunakan visa pelancong.

“Turut ditemui beberapa telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama, beberapa keping mata wang India dan Malaysia dengan jumlah keseluruhan barang rampasan RM4,746 dan telah diserahkan kepada IPD Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: