BHarianonline
JAKARTA: Seorang kakak, 21, yang hanya dikenali sebagai KK, disyaki membunuh adiknya, MF, yang berusia tiga tahun di Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia, ketika ibu bapa mereka keluar menjual durian.
Tragedi itu berlaku pada Rabu lalu di rumah keluarga mereka yang terletak di kawasan perumahan pekerja sebuah syarikat perladangan kelapa sawit, di mana MF ditinggalkan di bawah jagaan KK di rumah, sementara ibu bapanya berniaga durian.
Perbuatan mengerikan itu disedari apabila ibu bapa mangsa pulang ke rumah dan mendapati terdapat darah di lantai, manakala mangsa tidak ditemui di rumah.
Mereka segera membuat laporan kepada pengawal keselamatan syarikat, yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada Balai Polis Kendawangan.
Hasil soal siasat, KK mengaku telah membuang mayat mangsa tetapi tidak memberikan lokasi tepat.
Selepas pencarian selama satu setengah jam, mayat MF ditemui di tempat pembuangan sampah, dengan sebilah pisau memangkas kelapa sawit yang dipercayai digunakan KK untuk membunuh mangsa turut dirampas.
"Mayat mangsa ditemui pada awal pagi Khamis sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan di kawasan pembuangan sampah berhampiran kawasan perumahan, dalam keadaan dibungkus dalam karung.
"Kami mendapati kepala mangsa terpisah daripada badan," kata Ketua Polis Kendawangan, Iptu Bagus Tri Baskoro, pada Jumaat lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan ibu bapa mangsa, KK dipercayai menghidap gangguan mental dan motif kejadian masih dalam siasatan lanjut oleh pihak polis.
Difahamkan, suspek pernah cuba membunuh mangsa sebelum ini, namun berjaya diselamatkan oleh adik-beradiknya yang lain.
Pada masa ini, KK telah ditahan untuk membantu siasatan manakala mayat mangsa pula telah dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) di Kecamatan Manis Mata untuk pemeriksaan forensik. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan