KOSMO!
LUSAKA, Zambia – Dua lelaki ditahan di Lusaka kerana didakwa cuba menyihir Presiden Zambia, Hakainde Hichilema, lapor portal berita RT semalam.
Warga Mozambique, Jasten Mabulesse Candunde, 42 dan seorang ketua kampung, Leonard Phiri, 43, ditangkap bersama pelbagai tangkal termasuk sumpah-sumpah hidup. Mereka dituduh mengamalkan sihir.
Menurut polis, suspek didakwa di bawah Akta Sihir Zambia kerana memiliki tangkal dan azimat, mengamalkan ilmu hitam dan melakukan kekejaman terhadap hidupan liar.
Jurucakap polis, Rae Hamoonga berkata, kedua-dua suspek cuba menggunakan ilmu hitam untuk mencederakan ketua negara tersebut.
Beliau berkata, mereka yang ditangkap telah diupah oleh Nelson Banda. Dia ialah adik kepada seorang ahli Parlimen Zambia yang diburu pihak berkuasa, Emmanuel ‘Jay Jay’ Banda.
Kedua-dua suspek dilaporkan mengaku bersalah dan dijanjikan ganjaran AS$7,400 (RM33,000) setelah menyelesaikan misi itu.
Banda melarikan diri daripada tahanan polis tahun lalu semasa berdepan tuduhan melakukan rompakan. Keberadaannya masih tidak diketahui. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan