"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes tertukar bayi: Pemandu lori dibesarkan keluarga miskin terima pampasan RM1 juta daripada hospital

Agensi

Tokyo: Seorang pemandu lori di Jepun yang hidup dalam kemiskinan selepas mendapati dirinya tertukar ketika lahir dengan bayi daripada keluarga kaya memenangi saman terhadap hospital terbabit dan diperintahkan membayar pampasan 38 juta yen (kira-kira RM1.05 juta) kepadanya.

Memetik South China Morning Post, kes pada 2013 itu kembali tular di media sosial susulan beberapa laporan terbaharu mengenai kanak-kanak China yang diculik ketika kecil, dibesarkan dalam keluarga miskin dan kemudiannya disatukan semula dengan ibu bapa kandung mereka yang juga golongan berada.

Pada November 2013, mahkamah memutuskan bahawa Hospital San-ikukai di daerah Sumida, Tokyo bertanggungjawab atas kesilapan menukar bayi sejurus selepas kelahiran mereka pada 1953, dan perlu membayar pampasan kepada lelaki berkenaan yang ketika itu berusia 60 tahun.

Kebenaran mengenai pertukaran itu terbongkar selama enam dekad sehinggalah adik-adik lelaki daripada keluarga kaya berasa tidak berpuas hati dengan layanan abang sulung mereka terhadap bapa mereka.

Selepas kematian ibu mereka, abang sulung itu dilaporkan memegang bahagian pusaka bapa mereka daripada warisan ibu sebagai balasan kerana menjaga orang tua itu, namun sebaliknya menghantar bapa mereka ke rumah jagaan.

Keadaan itu menimbulkan keraguan dalam kalangan adik-beradik yang mula menyedari menyedari abang sulung mereka kelihatan berbeza daripada mereka.

Mereka juga teringat arwah ibu pernah memberitahu bahawa pakaiannya bertukar selepas seorang jururawat memandikannya di hospital ketika bersalin.

Bagi mendapatkan kepastian, mereka mengutip puntung rokok yang dibuang abang sulung mereka dan menghantarnya untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada 2009. Keputusan ujian mengejutkan mereka apabila mendapati tiada pertalian darah biologi antara mereka.

Siasatan lanjut terhadap rekod hospital membawa kepada penemuan seorang pemandu lori di Tokyo yang dilahirkan hanya 13 minit lebih awal daripada bayi yang tertukar dengannya.

Lelaki itu dibesarkan dalam keluarga angkat dan kehilangan bapa angkatnya ketika berusia dua tahun menyebabkannya hidup miskin dan terpaksa bekerja sambilan untuk menamatkan sekolah menengah

Sementara itu, bayi yang sepatutnya menjadi dirinya dibesarkan dalam persekitaran mewah, mendapat pendidikan berkualiti dan menjadi ketua syarikat, manakala tiga adik lelakinya juga berjaya dalam bidang korporat.

Malangnya, ketika pemandu itu mengetahui identiti sebenar ibu bapa kandungnya, kedua-duanya sudah meninggal dunia.

Hakim Mahkamah Daerah Tokyo, Masatoshi Miyasaka dalam keputusan berkata, mahkamah berpihak kepada plaintif kerana "dia dipisahkan daripada ibu bapa kandungnya sejurus selepas dilahirkan" dan berhak menerima pampasan kerana "dia sepatutnya dibesarkan dalam persekitaran yang selesa daripada segi kewangan."
-Hmetro 

Tiada ulasan: