Islam kini asas Perlembagaan Umno, Zahid harap PAS terbubar
Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berharap PAS akan terbubar selepas parti itu memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya pada 2019.
Beliau membangkitkan perkara itu selepas mendakwa kenyataan bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz Nik Mat pada 2008 jika suatu hari nanti Umno meletakkan Islam sebagai asas dalam perlembagaannya, PAS akan dibubarkan.
“Apabila Almarhum Nik Aziz menyebutkan Umno jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam perlembagaannya maka PAS akan dibubarkan. Saya anggap itu wasiat, (sebab itu) apabila saya mengambil alih kepimpinan Umno, itu perkara pertama yang saya lakukan. Meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno.
“Tapi, PAS belum terbubar lagilah. Saya harap (PAS) akan terbubar dengan sendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Usul khas pindaan Perlembagaan Umno pada perhimpunan agung parti 2019 diluluskan sebulat suara oleh perwakilan dalam persidangan antara lainnya meletakkan Islam (agama) di hadapan kemudian disusuli dengan bangsa dan negara.
Pada 2008 media melaporkan Nik Aziz mencadangkan Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
“Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam,” katanya kepada selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan ke-37 di Machang.
Sementara itu, dalam ucapannya juga Zahid berkata Umno tidak pernah menolak Islam bahkan jauh sekali mahu mengeksploitasi agama demi meraih sokongan.
“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan manakala peranan Raja-raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan dalam Perkara 38. Inilah jasa besar Umno yang jangan sesekali kita lupakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan