Malaysiakini
Seorang pemimpin PAS memberi amaran terhadap cadangan menaikkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN), dengan mendakwa langkah itu boleh menyebabkan parti Islam itu kehilangan puluhan kerusi Parlimen.
Dalam hantaran di media sosial, Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad, yang juga menantu kepada presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata data dan analisis dalaman menunjukkan PAS boleh kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen sekiranya Samsuri menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN pada ketika ini.
Walaupun tidak mendedahkan perincian, dia berkata unjuran itu dibuat berdasarkan tiga senario dan syarat tertentu yang tidak dapat didedahkan secara terbuka.
Zaharudin menambah bahawa risiko berkenaan tidak diberi perhatian secukupnya di sebalik keterujaan sesetengah pihak untuk melihat PAS, atau secara khusus Samsuri yang juga naib presiden PAS, mengambil alih kepimpinan gabungan itu.
“Disebabkan saya tak boleh dedah data dan realiti, maka saya boleh simpulkan bahawa kalau Dr Samsuri jadi pengerusi PN ganti Muhyiddin sekarang, saya cukup bimbang berdasarkan data yang ada pada saya dan kawan-kawan, PAS akan hilang 37 kerusi Parlimen, dengan tiga senario dan kondisi yang bakal berlaku.
“Senario tersebut tak boleh saya sebut secara terbuka.
“Cuma saya bimbang kawan-kawan seronok untuk naikkan PAS atau lebih spesifik Samsuri sebagai pengerusi PN, tanpa menyedari ia tidak baik untuk PAS dan Malaysia,” katanya.
Zaharudin menegaskan bahawa dia akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat secara rasmi melalui struktur kepimpinan tertinggi parti, termasuk jawatankuasa pusat PAS dan Majlis Syura Ulama.
Bagaimanapun, dia memberi amaran agar keputusan tidak ditentukan oleh segelintir individu, dengan mesyuarat parti sekadar menjadi sesi taklimat dan bukannya wadah perbahasan sebenar.
“Jika PAS dah buat keputusan dalam mesyuarat PAS Pusat dan Majlis Syura lulus, bagi saya itu terbaik.
“Tapi jika keputusan ini hanya segelintir dan mesyuarat hanya jadi tempat maklum tanpa bahas, maka itu tidak berkat,” katanya dalam perbandingan tersirat terhadap apa yang disifatkannya sebagai “modus operandi” kepimpinan terdahulu yang dirujuknya sebagai “jebon”.
Dia berkata kenyataannya itu bertujuan memberi isyarat, bukannya pendedahan penuh, berikutan kekangan untuk mendedahkan data dalaman yang sensitif.
Zaharudin berhujah bahawa keputusan politik yang didorong oleh emosi, keterujaan atau tekanan dalaman boleh memakan diri jika ia mengabaikan data dan realiti pilihan raya.
Katanya, apa yang paling diinginkan oleh penyokong tidak semestinya sesuatu yang kukuh dari sudut strategi, sambil memberi amaran bahawa “musuh boleh menyelinap masuk melalui apa yang kita suka”.
Dia seterusnya mengaitkan logik yang sama dengan perdebatan semasa mengenai jawatan pengerusi PN, dengan memberi amaran bahawa mengangkat seorang pemimpin semata-mata kerana popular dalam PAS, tanpa perbincangan yang rapi dan penilaian berasaskan data, boleh memudaratkan parti dan negara.
Bagi menggambarkan perkara itu, Zaharuddin merujuk keputusan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 untuk bertanding secara berkelompok di kerusi majoriti Melayu yang diklasifikasikan sebagai K5 dan K6.
“Waktu PRU13 tahun 2018, kemenangan besar DAP bukan kerana faktor rakyat tolak BN sahaja, tetapi antara faktor utama juga ialah kerana PAS masuk en bloc sehingga kawasan K5 dan K6.
“Kawasan K5 dan K6 ialah kawasan yang pengundi Melayu 50 hingga 70 peratus. Strateginya biarkan MCA atau MIC lawan DAP, maka MCA berpotensi menang justeru undi Melayu akan pergi ke MCA atau MIC.
“Jika PAS masuk, ia pasti membantu DAP mengalahkan MCA atau MIC kerana undi Melayu akan pergi kepada PAS manakala undi bukan Melayu akan pergi kepada DAP lebih banyak berbanding MCA.
“Maka DAP akan menang dan ini terbukti dalam PRU13. Data yang ada pada saya, sekitar 16 Parlimen DAP dimenangi atas faktor ini,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya dalam data parti dan analisis strategi, Zaharudin berkata kerusi-kerusi berkenaan sejak sekian lama dianggap sebagai pantang larang, namun percaturan tidak bertulis itu diketepikan walaupun amaran telah diberikan.
Walaupun jentera parti di peringkat tempatan mengalu-alukan peluang untuk bertanding, dia berhujah bahawa kesan keseluruhannya adalah negatif dan menguntungkan pihak lawan politik.
Mengaitkan strategi itu dengan seorang individu yang dirujuk sebagai “Mr D” dalam parti, Zaharudin bagaimanapun tidak menamakan individu berkenaan.
“Yang saya pelik, Mr D yang saya yakin dia tahu pantang larang ni, kenapa dia bersunguh-sunguh mahu PAS bertanding maksimum tanpa mengira level K kawasan tersebut,” soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan