Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi PAS dijangka akan diadakan dalam masa terdekat, bagi membincangkan isu peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tinjauan di sebuah hotel di ibu negara sejak tengah hari tadi mendapati, beberapa pemimpin kanan PAS dilihat keluar masuk dari lokasi berkenaan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai penganjuran mesyuarat itu.
Antara yang kelihatan ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Turut dilihat hadir Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Bagaimanapun, kesemua pemimpin berkenaan enggan ditemu bual dan tidak mengesahkan penganjuran mesyuarat itu.
Terdahulu, krisis politik di Perlis tercetus, susulan tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing tiga daripada PAS dan lima daripada BERSATU, menarik sokongan terhadap kepimpinan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd Shukri Ramli.
Beliau kemudian meletakkan jawatan atas alasan kesihatan.
Pimpinan PAS menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu pengkhianatan terhadap PAS, selaku rakan komponen BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetuskan konflik dalaman gabungan itu ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan