"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu kereta mewah tular berkelakuan samseng serah diri kepada polis

Buletin TV3 
VIDEO tular memaparkan tindakan berbahaya seorang pemandu kereta mewah yang memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba. FOTO tular
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta mewah yang tular kerana berkelakuan ala samseng sudah menyerahkan diri kepada polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian perselisihan faham antara dua pemandu itu kelmarin.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki (suspek) memandu secara gopoh dengan mengekori mangsa, memberhentikan kenderaan secara mengejut serta menghalang laluan, yang berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kejadian berlaku pada 27 Disember lalu dan dirakam melalui rakaman kamera papan pemuka (mangsa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku akibat daripada salah faham antara kedua-dua individu berkenaan dan suspek didapati sudah membuat permohonan maaf menerusi platform media sosial.

Katanya, suspek adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun tampil menyerahkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan suspek diambil bagi membantu siasatan dan dia seterusnya diberi jaminan polis sementara siasatan diteruskan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu secara gopoh) dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan (halangan salah).

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya turut membuka kertas siasatan di bawah Rule 16 LN 166/59 berkaitan kesalahan halangan lalu-lintas,” katanya.

Terdahulu satu klip berdurasi satu minit 32 saat tular di media sosial memaparkan mangsa sedang memandu sebelum terserempak dengan seorang lelaki yang berdiri di tengah-tengah jalan.

Susulan itu berlaku salah faham antara mereka sebelum suspek yang menaiki sebuah kereta mewah mengejar dan berhenti secara mengejut di hadapan kenderaan mangsa.

Tiada ulasan: