Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman seorang pegawai syariah dan seorang peguam syarie kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah kira-kira RM91,000 sebagai balasan mengeluarkan Perintah Pengesahan Hibah bagi tujuan pertukaran hak milik.
Majistret Ahmad Khairuddin Khalid membenarkan kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 20 Jan ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40an dan 50an itu ditahan berasingan semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor pada kira-kira 8 malam.
“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan terbabit antara 2016 hingga 2018,” katanya.
“Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah secara tunai daripada 13 penerima hibah dengan setiap seorang kira-kira RM7,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan