Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: Seorang bapa tiri ditahan polis selepas disyaki merakam video secara sembunyi terhadap ahli keluarganya sendiri di bilik air sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bersuia 39 tahun itu ditahan jam 8.07 malam, kurang dua jam selepas pihaknya menerima laporan pada jam 6.27 petang hari sama.
Menurutnya, perbuatan jijik itu terbongkar apabila kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menemui telefon bimbit dipercayai milik bapa tirinya disorokkan di dalam tandas rumah dalam keadaan sedang merakam, sebelum menyerahkannya kepada ibunya.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video yang mengaibkan membabitkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika menggunakan bilik air.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh serta tinggal serumah dengan mangsa akhirnya mengakui perbuatan itu selepas disoal oleh ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas menemukan sebanyak 10 klip video membabitkan mangsa serta dua anak.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan