Kirthana Arumugam
Haziq Asyraff Abu Zarin mengaku tak salah lakukan perbuatan itu di tempat letak kereta di Setapak pada 7 Jan lalu.

Haziq Asyraff Abu Zarin diiringi polis ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merompak dan melakukan serangan seksual seorang wanita berumur 19 tahun minggu lalu.
Haziq Asyraff Abu Zarin, 24, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut tuduhan pertama, Haziq didakwa merompak dua telefon bimbit milik mangsa di tempat letak kereta sebuah medan selera di Taman Ayer Panas, Setapak, antara 12.30 pagi hingga 5.30 pagi, 7 Jan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebatan.
Lelaki itu juga didakwa memaksa mangsa melakukan seks luar tabii di lokasi dan waktu yang sama, satu kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saravanan Meyappan manakala Haziq diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie dan Carenjit Kaur.
Pihak pembela memberitahu mahkamah bahawa Haziq masih bujang, tiada pendapatan tetap dan bekerja di sebuah kedai motosikal sebelum dipecat.
Mereka juga memaklumkan bahawa Haziq mengalami kecederaan lutut dan menjalani pembedahan pada Julai tahun lalu, dengan temujanji susulan dijadualkan pada 9 Feb ini.
Katanya, kakak Haziq bersedia menjadi penjamin dan memberi jaminan bahawa tertuduh tidak akan melarikan diri.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim membenarkan Haziq diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkannya melapor diri ke balai polis sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 10 Feb ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan