Irfan Faruqi
KUALA LUMPUR: Ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pembentukan gabungan politik baharu susulan cadangan Pas yang hendak menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya, Bendahari Armada Bersatu Malaysia, Nor Zahid Rahim menegaskan keperluan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai platform pembangkang utama.
“Bagi kami; pemuda, ini bukan masa untuk bentuk gabungan baharu. Bagi saya masih terlalu awal dan perkara ini sudah berlaku dalam babak-babak sebelum ini. Buat masa ini, fokus kami adalah memperkukuh PN sebagai satu platform pembangkang utama.
“Sebarang perbincangan lain; kerjasama politik yang lebih luas, harus dibuat dengan penuh pertimbangan berasaskan kepada prinsip kestabilan negara dan bukan semata-mata untuk tujuan taktikal jangka masa pendek,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam temu bual sama, Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar pula berkata perpecahan dalaman yang berlaku dalam PN ketika ini tidak memberi isyarat yang baik kepada pengundi jika gabungan itu benar-benar berhasrat membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pada masa sama, beliau merujuk kepada keputusan politik yang dibuat oleh Pas semasa kemelut di Perlis dan kepimpinan PN ketika ini sebagai gopoh.
“Adakah Pas benar-benar faham senario atau unjuran senario yang akan berlaku; senario terbaik atau terburuk. Dalam konteks ini, saya lihat rencana Pas seolah-olah memberi tekanan pada peringkat awal.
“Sejak awal lagi Pas mengimpikan pertukaran kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Tetapi kemelut di Perlis seakan-akan mempercepatkan proses itu.
“Saya lihat selepas Tan Sri Muhyiddin letak jawatan, dan lebih 12 hari telah berlalu sejak pengumuman itu, (PN/Pas) tidak dapat cari jalan keluar siapakah yang sepatutnya menerajui PN,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan