KOSMO!

Anggota polis membawa Muhammad Hakim untuk didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU – Seorang peniaga ayam proses didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Bachok dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hakim Firdaus Robi, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lima bulan ketika kejadian di Kampung Teratai, Beris Panchor dekat Bachok kira-kira pukul 3 pagi pada 3 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ridzuan Awang.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi selain menetapkan 12 Februari depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan