"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Istana 'tukar MB': Ulama PAS Perlis terikat larangan PAS Pusat

Shakira Buang

Dewan Ulama PAS Perlis memberitahu, mereka tidak dapat memberikan penjelasan atau ulasan lanjut berhubung perkembangan politik di negeri itu kerana terikat dengan arahan parti.

Ketuanya, Ahmad Adnan Fadzil, memberitahu Malaysiakini mereka diberi arahan agar tidak memberikan sebarang ulasan walaupun wujud pelbagai dakwaan dan persepsi daripada banyak pihak.

“Saya tak boleh buat ulasan sebab sekarang ini arahan daripada PAS Pusat memang tak boleh buat apa-apa ulasan lagi,” katanya.

Tambah Ahmad Adnan, memang ramai orang sedia maklum apa yang berlaku di negeri tersebut namun Dewan Ulama PAS Perlis terikat dengan peraturan serta disiplin parti.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tokoh Bersatu bahawa pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis melibatkan campur tangan pihak istana.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik, dalam catatan di media sosialnya hari ini mendakwa mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi membincangkan krisis politik di Perlis.

Dia yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mendakwa konflik itu berlarutan sejak hampir setahun lalu dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan PAS dan Bersatu mengemukakan tiga nama calon menteri besar untuk pertimbangan baginda.

“Bersatu mematuhi sepenuhnya titah tersebut dengan mengemukakan tiga nama, namun PAS hanya mengemukakan satu nama,” katanya.

Abdul Rahim kemudian telah menyunting hantaran itu dan memadam dakwaan berkenaan campur tangan Raja Perlis.

Namun tulisan asal Abdul Rahim masih boleh dicapai melalui butang edit history hantaran itu. Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komennya berhubung sebab dia memindanya.

Tindakan berdasarkan perlembagaan

Krisis itu akhirnya menyaksikan Adun Sanglang yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, berundur dan tempatnya digantikan Pengerusi Bersatu Perlis merangkan Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Perkembangan itu jelas menyaksikan PAS tidak berpuas hati sehingga hubungan parti terbabit dengan Bersatu sempat tegang.

Ia diikuti dengan desakan terbuka pemimpin PAS agar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan Pengerusi PN.

PAS juga menyatakan mereka bersedia menggalas tanggungjawab mengepalai PN daripada Bersatu.

Selain itu PAS memberhentikan keanggotaan tiga Adun mereka kerana dianggap “menjatuhkan kerajaan negeri” apabila menandatangani perakuan berkanun (SD) sebagai menyatakan hilang keyakinan kepada Mohd Shukri.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pula menganggap wujud pengkhianatan di Perlis.

Selepas itu Dewan Ulama PAS Perlis mengeluarkan kenyataan membela ketiga-tiga Adun terbabit dan menyifatkan mereka tidak mengkhianati parti.

Menurut Ahmad Adnan, sama ada Adun berkenaan atau Mohd Shukri, semuanya adalah ahli-ahli yang setia kepada PAS.

Katanya pada akhir Dis lalu, krisis politik di Perlis terjadi kerana ada pihak yang gagal memainkan peranan sepatutnya sehingga kemelut itu menjadi lebih rumit.

Muhyiddin kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Tindakan sama turut diambil beberapa pemimpin lain dari Bersatu, termasuk Azmin Ali yang melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN.

Sementara itu, Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, ketika dihubungi berkata ada banyak hal yang sulit melibatkan perkembangan di Perlis, justeru ia tidak wajar dibincangkan secara terbuka.

Katanya, dia tidak dapat mengesahkan dakwaan dibuat Abdul Rahim mengenai mesyuarat MPT Bersatu malam tadi.

“Sepatutnya perbincangan dalaman tidak dibawa keluar.

“Berhubung dakwaan Tan Sri Rahim (yang ada pembabitan istana), itu adalah hal ‘dalam pagar’ dan sulit untuk diperkatakan secara terbuka,” katanya.

Pada masa sama Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok itu menegaskan bahawa PAS hanya bertindak berdasarkan peruntukan dan garis panduan yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Tiada ulasan: