"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: PAS cabar Bersatu di Gombak Setia boleh melarat ke DUN, Parlimen lain

Nora Mahpar

Penganalisis beri amaran hasrat PAS cabar Bersatu boleh cetus krisis kepercayaan dan melemahkan PN menjelang PRU16.

Baru-baru ini Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berpandangan partinya wajar bertanding di DUN Gombak Setia pada PRU akan datang.
PETALING JAYA: Ketegangan antara PAS dan Bersatu susulan gesaan Pemuda PAS Selangor mahu parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding di DUN Gombak Setia dilihat berpotensi melarat ke negeri lain sekali gus menjejaskan kestabilan gabungan menjelang pilihan raya akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata pendekatan politik PAS yang lazimnya sangat yakin dengan kekuatan jentera sendiri boleh ‘memakan diri’ jika tidak dikawal, terutama di kerusi majoriti Melayu sebelum ini dimenangi PN melalui kesepaduan undi antara PAS dan Bersatu.

“Jika ini berterusan, kesannya bukan terhad kepada Gombak Setia, malah boleh menjejaskan hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN PN,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berpandangan partinya wajar bertanding di DUN Gombak Setia pada PRU akan datang. Kerusi itu disandang Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham sejak 2018.

Pemuda PAS Gombak turut menyatakan hasrat mencabar Bersatu dan mendakwa wujud sentimen akar umbi parti itu yang semakin tidak berpuas hati dengan kepimpinan wakil rakyat sedia ada.

Bercakap kepada FMT, Hilman bagaimanapun menegaskan tidak terancam dengan gesaan PAS malah akan akur jika parti mempunyai calon yang boleh menggantikannya.

Namun, beliau menasihatkan Pemuda PAS supaya jangan gopoh sebaliknya bekerja secara konstruktif selain bersama dengannya atas nama PN.

Cadangan bertanding di Gombak Setia menyusul selepas Hilman pada Ahad dilaporkan meminta semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan berkait jawatan pengerusi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.

Hilman mengulas gesaan Presiden PAS Hadi Awang yang mengusulkan supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.

Menurut Hisommudin, struktur sokongan PN sangat bergantung kepada kerjasama rapat antara dua parti teras itu, dan sebarang keretakan akan memberi implikasi langsung kepada prestasi pilihan raya gabungan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan PAS tidak terlepas pandang perubahan landskap pengundi, khususnya peningkatan saiz pengundi atas pagar dan pengundi muda yang mempunyai kecairan politik tinggi.

“Pengundi setia parti semakin mengecil. Segmen pengundi baharu, khususnya Gen Z (bawah 30 tahun), cenderung ‘menghukum’ parti yang dilihat angkuh atau gagal menampilkan imej kestabilan,” katanya.

Perbalahan dalaman

Dalam konteks itu, Hisommudin berkata negeri seperti Perlis, Kedah dan Terengganu juga tidak mustahil terjejas sekiranya konflik PAS-Bersatu berlarutan, kerana pengundi di negeri terbabit lebih mengutamakan kestabilan kerajaan berbanding perbalahan dalaman gabungan.

Mengulas kemungkinan PAS menolak kerjasama dengan Bersatu di beberapa kerusi, Hisommudin berkata tindakan sedemikian, terutama jika dizahirkan secara terbuka, menandakan runtuhnya falsafah asas pembentukan PN.

“PN dibina atas keperluan kesepaduan undi Melayu dan disiplin gabungan. Apabila salah satu rakan utama mula mempersoalkan kerjasama secara terbuka, ia bukan lagi isu taktikal, tetapi krisis kepercayaan yang merosakkan teras gabungan,” katanya.

Beliau menegaskan dalam politik gabungan, perpecahan tidak akan melahirkan kekuatan baharu, sebaliknya melemahkan semua pihak terlibat, dan PAS perlu menilai implikasi jangka panjang sebelum membuat keputusan muktamad.

“Senario paling buruk, bukan sahaja perpaduan PN akan terhakis, malah kedua-dua – PAS dan Bersatu – akan sama-sama menanggung kerugian besar di medan pilihan raya” katanya.

Pandangan sama disuarakan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, yang melihat konflik berpanjangan itu berisiko menamatkan penubuhan PN sebagai gabungan alternatif pilihan utama.

“Hakikatnya, jika ini melarat ke tempat lain, tiada lagi PN. Undi Melayu akan berpecah tiga antara PAS, Bersatu dan Umno,” katanya.

Azmi berkata, PAS mungkin masih memperoleh undi Melayu yang solid jika bertanding bersendirian, namun sokongan pengundi bukan Melayu hampir pasti tidak memihak kepada PAS atau Bersatu.

“Undi bukan Melayu berkemungkinan besar akan pergi kepada Umno jika parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU akan datang,” katanya, sambil menambah gesaan seumpama itu dijangka merebak ke kerusi yang sebelum ini dimenangi Bersatu dengan bantuan jentera dan pengundi PAS.

Tiada ulasan: