"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mantan MB Perlis, ketua penerangan Bersatu ‘bertelagah’ isu krisis politik Perlis

FMT Reporters

Shukri Ramli dari PAS menuduh Tun Faisal Ismail Aziz sebagai tidak cekap, manakala wakil Bersatu itu memberitahu rakannya dalam PN itu supaya 'terima kebenaran'.
Shukri Ramli Tun Faisal Ismail Aziz
Shukri Ramli dari PAS dan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz bertelagah mengenai krisis politik di Perlis yang memuncak dengan peletakan jawatan Shukri sebagai menteri besar.
PETALING JAYA: Shukri Ramli daripada PAS dan ketua penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, saling berbalas kenyataan di media sosial berhubung versi kejadian sebenar krisis politik di Perlis yang berakhir dengan peletakan jawatan Shukri sebagai menteri besar.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tun Faisal mengulangi kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu tidak mengkhianati PAS di Perlis.

Tun Faisal menegaskan lima Adun Bersatu di Perlis tidak pernah mengemukakan akuan berkanun kepada Raja Perlis bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap Shukri.

Beliau berkata, Shukri meletakkan jawatan atas faktor kesihatan dan tindakan itu tidak ada kaitan dengan Bersatu atau Adunnya.

Bagaimanapun, di ruangan komen hantaran tersebut, Shukri menuduh Tun Faisal sebagai ketua penerangan yang tidak cekap kerana mengumpul maklumat hanya berdasarkan daripada sesiapa sahaja yang ditemuinya.

Tun Faisal kemudian membalas dengan menggesa Adun Sanglang tiga penggal itu supaya ‘terimalah kebenaran dan lawanlah kebatilan’.

“Carilah kebenaran sebelum mengeluarkan kenyataan,” balas Shukri, yang kemudiannya ditegaskan Tun Faisal bahawa beliau telah berbuat demikian.

“Ya, saya sudah cari dan semak (kebenaran). Kat mana yang salah? Boleh tolong beritahu,” pemimpin Bersatu itu.

Shukri meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perlis bulan lalu dengan alasan faktor kesihatan selepas lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS dilaporkan menarik balik sokongan terhadapnya.

Tiga Adun PAS berkenaan kemudiannya ditamatkan keahlian parti, walaupun mereka menegaskan tindakan menarik sokongan terhadap Shukri adalah ‘keputusan yang betul”.

Jawatan menteri besar kemudiannya disandang oleh Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah. Walaupun beliau mendapat sokongan PAS sebagai menteri besar, parti itu enggan menyertai pentadbiran kerajaan negeri sebagai tanda bantahan.

Ia mencetuskan ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN), dengan Bersatu dituduh mengkhianati PAS.

Tiada ulasan: