DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diarahkan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ di negeri ini yang tular di media sosial sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.
“Saya sudah minta JAIM untuk siasat terlebih dahulu dan kita tidak boleh membuat sebarang keputusan awal selagi maklumat jelas serta bukti diperoleh,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial Thread mendakwa kewujudan hotel berkenaan, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Hantaran itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’ seperti pet-friendly, family-friendly, Muslim-friendly dan kini gay-friendly.
“Agak kreatif penjenamaan. Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’. Lepas ini apa pula idea kreatif akan muncul? ‘Babi friendly’ atau ‘LGBT friendly’?” tulisnya secara sinis.
Beliau turut menzahirkan rasa terkejut terhadap penggunaan istilah tersebut secara terbuka dalam konteks perniagaan hospitaliti.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk kritikan dan kekeliruan terhadap konsep terbabit, selain ada yang terkejut dengan dakwaan penerimaan terbuka terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Beberapa pengguna Thread turut dilihat memetik akaun Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk mendapatkan pengesahan kejadian tersebut.
“Hapus sahaja hotel itu. Tidak bermaslahat buat kami,” tulis malayan.arif.
“Aku rasa semua hotel kat malaysia ni is gay friendly “by default”. Sesama jantina dlm bilik yg sama bukan kena tangkap khalwat pun 😅… cuma takde label je la…,” respons azfar_yusof.
“Dr @akmalsaleh boleh sahkan….?,” kata mr_kat23. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan