FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengarahkan anaknya mencuri sepeket Nescafe di sebuah pasar raya di Bahau.
Timbalan Ketua Polis Jempol R Premkumar berkata, penyelia pasar raya itu membuat laporan polis selepas menyedari budak lelaki berusia 10 tahun itu mencuri sepeket Nescafe seberat 200g kira-kira 11.45 pagi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu sering dipaksa oleh bapa kandungnya untuk mencuri barang keperluan harian di beberapa premis perniagaan di sekitar Bahau dan Batu Kikir.
“Jika kanak-kanak itu enggan, suspek didakwa akan marah dan mengugut mahu mencederakan mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.
Premkumar berkata, mangsa mengalami penderaan emosi dan dianiaya oleh bapanya sendiri apabila disuruh melakukan jenayah.
Beliau berkata, semakan awal mendapati suspek yang diberkas mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.
Suspek juga mempunyai rekod individu dikehendaki pada 2021 dan pernah disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 109 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan