FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang ‘saksi mata’ memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa pada malam 15 Julai 2025 keadaan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha digambarkan sebagai ‘tegang’ dan ‘menakutkan’.
Peguam Shahlan Jufri mewakili ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, berkata pelajar itu berkata, berlaku tiga kejadian pada malam berkenaan iaitu pertama Zara disoal siasat dua pelajar senior mengenai kes kecurian sebelum disoal lagi oleh dua pelajar bersama seorang lagi pelajar senior.
“Kejadian ketiga ialah pelajar senior membacakan satu surat yang menyatakan Zara Qairina ingin menjadi Badar (pengawas Badan Dakwah dan Rohani). Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 10 hingga 20 minit di bilik asrama,” kata Shahlan menurut Bernama selepas prosiding inkues dijalankan secara tertutup, di Kota Kinabalu.
Shahlan berkata, semasa kejadian, saksi juga memberitahu pelajar senior itu meminta penghuni bilik supaya ‘jangan tengok, jangan pasang telinga’, dan saksi juga berkata terdapat makian yang membuatkannya ketakutan.
Menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang bertanya sekiranya perkara itu sering terjadi di asrama, saksi memberitahu memang berlaku beberapa kali, tetapi yang lebih menakutkan saksi ialah kejadian pada malam 15 Julai itu.
Shahlan berkata, seorang lagi saksi yang dipanggil semula iaitu seorang pelajar memberitahu mahkamah, dia ada menerima helaian nota berwarna kuning daripada Zara yang diselitkan pada buku yang tertulis ‘bye kesayangan’.
Ketika ditanya maksud nota itu, saksi itu berkata, Zara ingin memaklumkan bahawa dia akan ke musolla terlebih dahulu dan mereka berjumpa di tempat itu.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lalu telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Prosiding inkues bersambung Isnin ini dengan prosiding akan dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan