Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Anggota bomba mengangkat mangsa yang ditemui terbaring dalam keadaan lemah dan mengalami dehidrasi di kawasan paya dekat Bukit Batu Putih. FOTO Ihsan JBPM Melaka.
Masjid Tanah: Seorang pemuda diselamatkan anggota bomba selepas tersesat di kawasan paya di Bukit Batu Putih, Port Dickson, di sini, hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, keluarga mangsa menghubungi pihak bomba pada jam 12.35 tengah hari, selepas bimbang pemuda berusia 23 itu tidak pulang seperti dijanjikan pada 10 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mengesahkan seorang lelaki dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki dan operasi pencarian dijalankan dengan bantuan anggota BBP Teluk Kemang.
"Mangsa ditemukan di atas rimbunan rumput gajah dalam keadaan tidak berbaju, mengalami dehidrasi dan lemah selepas beberapa jam terkandas di kawasan berkenaan.
"Dia yang mengalami kecederaan ringan kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, usaha mengesan mangsa turut dibantu menerusi status WhatsApp miliknya yang dikirim adiknya kepada pihak bomba.
Zulkhairani berkata, operasi membabitkan 15 anggota bomba dari BBP Masjid Tanah dan BBP Teluk Kemang dengan bantuan tiga anggota polis serta dua anggota KKM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan