"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes penderaan dan perdagangan manusia, 4 tertuduh tidak dibenar ikat jamin

Jaminan 4 individu dagang pembantu rumah hingga cedera ditolak
NOOR HASLIZA NUSI

SEBERANG PERAI – Empat individu termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth d sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga mangsa mengalami cedera parah.

Tertuduh iaitu Cheng Dee Wen dan Lim Yeek Fern, yang merupakan pasangan suami isteri berusia 33 tahun, Yeo Ann Sheng, 25 dan R. Maneemekalai, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Rohaida Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama memperdagangkan seorang wanita Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan menggunakan kekerasan, sehingga mangsa mengalami kecederaan parah di Pusat Perniagaan Oren di sini, antara Mei hingga Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukum penjara seumur hidup atau penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun, serta dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nadhirah Rahim manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Y. Anbananthan serta Ng Sze Wei.

Semasa prosiding, Jun Keong membantah permohonan ikat jamin tertuduh atas faktor mangsa berusia 25 tahun itu merupakan warga Indonesia yang bekerja di kediaman tertuduh di negeri ini sebelum diselamatkan di Tanjung Sepat, Selangor.

Beliau berkata, mangsa melecur 21 peratus daripada keseluruhan bahagian tubuhnya, selain boleh dikategorikan sebagai kecederaan serius serta memerlukan rawatan di unit rawatan rapi hospital.

“Selain itu, dua daripada tertuduh merupakan majikan mangsa dan mempunyai maklumat peribadinya, sekali gus menimbulkan kebimbangan mereka mungkin mengganggu mangsa serta ahli keluarganya.

“Mohon mahkamah turut mengambil kira faktor kejadian membabitkan seorang warga Indonesia yang berpotensi menjejaskan hubungan dua hala antara dua negara,” katanya.

Mahkamah kemudiannya memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh, sekali gus menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, tiga wanita antara lima individu berusia 20 hingga 30-an direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan tersebut.

Kesemua suspek ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, Butterworth, kira-kira pukul 6.30 petang, 19 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: