Hariz Mohd
Rancangan Bersatu untuk memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan negeri Selangor dilihat menimbulkan keresahan sekutunya dalam PN iaitu PAS.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah itu bercanggah dengan pendirian PN yang menolak kerjasama dengan PH.
Katanya, PN akan membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya Bersatu meneruskan rancangan itu, walaupun setakat ini ia masih sekadar khabar angin.
"Kita meneliti isu ini, setakat ini ia masih khabar angin. Walaubagaimanapun PN akan membuat keputusan sekiranya ia (Bersatu) jelas mengadakan CSA.
"Tindakan ini bercanggah dengan keputusan PN, namun ia adalah hak Bersatu untuk membuat keputusan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.
CSA ialah perjanjian antara kerajaan dengan parti bukan kerajaan yang menyaksikan mereka menyokong atau berkecuali berhubung usul undi percaya, serta membantu meluluskan belanjawan atau bil bekalan.
Sebagai balasan, kerajaan akan menyalurkan sama ada peruntukan kewangan atau konsesi dasar kepada parti yang menyokong tersebut.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Bersatu dan kerajaan Selangor pimpinan PH semakin hampir mencapai kesepakatan bagi mengukuhkan sokongan terhadap Menteri Besar Amirudin Shari di DUN.
Sebagai balasan, wakil rakyat Bersatu akan menerima peruntukan kawasan pilihan raya yang sama seperti wakil rakyat lain, selain beberapa manfaat lain.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin, parti itu turut mahu wakil rakyatnya terlibat dalam proses membuat keputusan kerajaan negeri, termasuk melalui akses kepada mesyuarat kerajaan.
Cadangan kerjasama itu timbul ketika hubungan PH dan BN, yang bekerjasama dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor, semakin tegang.
Bersatu juga berselisih dengan PAS, yang kini menerajui gabungan pembangkang.
Kerajaan pimpinan Amirudin ketika ini mendapat sokongan 35 daripada 56 ahli DUN, iaitu 32 daripada PH, dua daripada BN dan seorang wakil rakyat bebas.
Bersatu memiliki 11 kerusi pembangkang di DUN berkenaan, manakala PAS mempunyai 10 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan