Izz Laily Hussein

Tangkap layar video tular mengenai kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai.
JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat motif pergaduhan membabitkan tujuh lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai, di sini, semalam.
Selain mengenal pasti punca kejadian, polis turut berusaha mengesan semua individu yang terbabit dalam pergaduhan itu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 10.27 malam.
Beliau berkata, pergaduhan berkenaan turut mengakibatkan sebuah kereta milik orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian mengalami kerosakan.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku di luar kawasan pusat beli-belah berkenaan membabitkan tujuh lelaki sehingga menyebabkan sebuah kereta milik orang awam yang diletakkan di sekitar kawasan kejadian mengalami kerosakan.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Terdahulu, insiden berkenaan dirakam dalam video berdurasi 13 saat yang kemudian tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.
Radin Ramlan berkata, polis sedang giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat di Johor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan