FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh kerana disyaki mencabul seorang wanita dalam sebuah tren LRT minggu lalu.
Ketua Polis Ampang Jaya Farouk Eshak berkata kejadian berlaku pada 19 Ogos lalu ketika mangsa berusia 25 tahun menaiki tren LRT dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Pasar Seni.
Katanya, mangsa melaporkan ketika di dalam tren seorang lelaki warga Bangladesh telah menggeselkan kemaluan ke bahagian belakang badan pengadu.
“Susulan laporan itu, suspek berusia 43 ditangkap pada 21 Ogos oleh polis bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.
“Permohonan reman dibenarkan selama empat hari bermula 22 Ogos hingga esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan.
Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum dengan penjara selama tempoh 10 tahun atau denda atau sebat, atau kedua-dua hukuman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan