"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemungkinan PM tanpa Jemaah Menteri?

FMT Reporters

Walaupun Ismail Sabri Yaakob mempunyai sokongan sebuah blok, Anwar Ibrahim dan Shafie Apdal pula adalah calon di blok pembangkang, dengan mana-mana individu yang dilantik sebagai perdana menteri mungkin perlu bekerja tanpa anggota Kabinetnya.

PETALING JAYA: Pelantikan perdana menteri interim tanpa Jemaah Menteri nampaknya penyelesaian sesuai terhadap krisis politik semasa kerana tiada parti yang dilihat memiliki sokongan majoriti, kata sumber.

Sumber yang enggan dinamakan itu memberitahu FMT, terdapat dua parti utama yang bersaing untuk dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin semalam.

“Di sebelah pihak, anda mempunyai kumpulan yang diketuai Ismail Sabri Yaakob dan satu lagi ialah blok pembangkang.

“Sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu menyokong Ismail Sabri, ini akan menyaksikan gabungan sama dengan pentadbiran terdahulu.”

Di bahagian pembangkang, sumber berkata, calonnya ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

“Pembangkang mempunyai sekitar 105 Ahli Parlimen, saya diberitahu sesiapa pun antara Anwar dan Shafie yang mendapat jumlah (sokongan 111 Ahli Parlimen) akan menjadi calon PM mereka.

“Beberapa bekas Ahli Parlimen PKR dan sebahagian Ahli Parlimen Bersatu lebih cenderung menyokong Shafie berbanding Ismail Sabri.”

Difahamkan juga, 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan kepada Muhyiddin, menyebabkan kejatuhannya, mungkin tidak menyokong cubaan Ismail menjadi perdana menteri kerana ia bermakna mereka bekerjasama dengan Bersatu.

Semalam, dilaporkan usaha Ismail, yang menyaksikan beliau cuba mendapatkan sokongan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, tidak mendapat restu Umno.

“Tiada orang yang benar-benar mempunyai jumlahnya, malah jika ada yang mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi PM, tidak mungkin anda akan mempunyai sebuah kerajaan stabil.

“Satu daripada cadangan yang akan dikemukakan, mungkin paling masuk akal, ialah mempunyai seorang perdana menteri sementara cekap tanpa Kabinet yang boleh bekerjasama dengan perkhidmatan awam sehingga pilihan raya dapat diadakan dalam keadaan selamat.”

Yang di-Pertuan Agong akan menemui ketua parti politik petang ini di tengah-tengah laporan mengenai Ahli Parlimen diminta menyerahkan calon perdana menteri mereka kepada Istana Negara.

Tiada ulasan: