"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Fitnah kejam, melampau’, Ebit jawab tuduhan gangguan seksual

FMT Reporters

Ebit Lew berkata, beliau dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan dilemparkan terhadapnya.

PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan tuduhan dilemparkan terhadapnya sebagai fitnah yang sangat kejam dan melampau.

Beliau ditemui media selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual di Bukit Aman.

Pendakwah itu dilihat keluar dari pintu utama ibu pejabat polis Bukit Aman pada 2 petang.

Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu rakaman percakapan itu mengambil masa satu jam.

“Saya dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan yang dilemparkan terhadap saya.

“Saya serahkan kepada polis untuk siasatan. Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau,” katanya kepada media.

Reda dengan ujian menimpanya, Ebit bagaimanapun memaafkan sesiapa sahaja yang terbabit berkaitan dakwaan dilemparkan terhadapnya.

“Saya reda saja, saya maafkan siapa saja yang mungkin apa saja terjadi di luar sana, semua boleh menilai sendiri, dengan apa yang terjadi,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan merakam keterangan pendakwah itu bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, siasatan akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati untuk merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tiada ulasan: