"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiddin: "Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kleptokrat"

Ridauddin Daud

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat sekali gus mengorbankan prinsip yang dipegang selama ini.

Tegas Perdana Menteri Caretaker itu, beliau juga tidak akan sesekali mengganggu kebebasan Badan Kehakiman apatah lagi membelakangi Perlembagaan semata-mata untuk terus kekal berkuasa.

Jelasnya, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidak-tidaknya sehingga selesai tugas uruskan pandemik dan program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

“Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan saudara-saudari (rakyat) sekalian. Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah yang merupakan satu episod dalam perjuangan politik saya.

“Enam tahun lalu, saya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya pertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya berjuang dan berkorban, akhirnya Allah angkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Begitupun, katanya, telah ditakdirkan hari ini adalah hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri dan beliau reda dengan ketentuan tersebut.

“Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan ini, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Katanya, ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Tiada ulasan: