"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis yakin kombinasi Ismail-Anwar jawapan kepada krisis semasa

Shakira Buang

Cadangan agar dua calon perdana menteri masing-masing seorang daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diberikan jawatan tinggi dalam kerajaan untuk membentuk ‘kabinet perang’ disambut baik penganalisis politik.

Ketika Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat berpotensi dilantik sebagai perdana menteri, Prof Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berpendapat Pengerusi PH Anwar Ibrahim harus diberikan jawatan signifikan.

Katanya jawatan itu tidak semestinya sebagai timbalan perdana menteri.

Cadangan daripada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang itu, katanya, membawa makna besar dan membuka peluang kepada Ismail Sabri dan Anwar bekerjasama.

"Kedua-duanya perlu berkompromi dan berkorban ke arah politik baru, iaitu politik yang tidak lagi bersifat pembunuhan karektar, politik dendam, cantas-mencantas.

"Berikan ruang kepada politik yang tidak ada lagi pendominasian, politik yang berhemah, bermoral dan ini mungkin permulaan untuk itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Sivamurugan, mungkin jawatan jawatan timbalan menteri tidak sesuai untuk Anwar tetapi seeloknya kerajaan yang bakal dibentuk memberikan peranan signifikan kepada Anwar serta pemimpin pembangkang yang lain.

Masuk kabinet pun boleh

Dengan langkah itu katanya kerajaan dapat memberikan tumpuan penuh kepada isu pemulihan negara.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata dia tidak pasti sama ada tawaran tersebut - jika ada - akan disambut oleh Anwar atau sebaliknya kerana presiden PKR itu pernah menolak jawatan timbalan perdana menteri ketika PH menjadi kerajaan.

Veteran DAP, Lim Kit Siang, hari ini mencadangkan calon perdana menteri daripada PH dan PN membentuk ‘kabinet perang’ dengan masing-masing memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Lim tidak menyatakan sebarang nama secara khusus tetapi dua calon utama untuk jawatan perdana menteri yang kini kosong ialah Ismail Sabri dan Anwar.

Dipercayai Ismail Sabri mendahului dengan sokongan 114 ahli parlimen manakala Anwar disokong 105 ahli parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam dijangka memberi perkenan atas pelantikan itu sehari dua lagi.

Menurut Sivamurugan sekiranya Ismail Sabri diangkat sebagai perdana menteri, dia juga perlu memantapkan BN, memperkasa PN dan memperkukuhkan hubungan dengan pembangkang.

"Jadi, untuk pengukuhan dengan pembangkang itu antara yang boleh dilakukan ialah memberikan banyak peluang (kepada mereka) malah kalau nak lantik ke dalam kabinet pun boleh, atau menyertai Majlis Pelan Pemulihan Negara dengan meletakkan mereka di jawatan penting," katanya.

Jika tidak, kekal macam biasa

Sekiranya Anwar menerima cadangan tersebut, katanya, sudah pasti gencatan krisis politik dapat direalisasikan di semua peringkat, seterusnya memberikan sokongan yang baik apabila perdana menteri berdepan dengan usul undi percaya di parlimen nanti.

"Sekurang-kurangnya dengan jawatan tersebut boleh membawa bersama-sama 107 pembangkang bertanggungjawab bersama kerajaan," katanya.

Prof Madya Dr Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia juga melihat dalam situasi sekarang segalanya boleh berlaku dan tidak menolak kemungkinan kerajaan yang dicadangan oleh Lim dibentuk.

"Kalau Ismail Sabri menang pun dia menang dengan majoriti tipis, jadi dia boleh jatuh pada bila-bila masa.

"Untuk menyelesaikan isu politik negara ini kita perlu ada kerajaan yang stabil, cuma buat masa ini tidak tahulah apa yang dirasakan sesuai.

"Semuanya memerlukan kebijaksanaan Agong dan raja-raja Melayu untuk membincangkan ke arah itu.

"Jika tidak ia akan kekal seperti biasa," katanya.

Menurut Azizuddin, dia juga tidak menolak kemungkinan kewujudan kerajaan yang membuat parti utama dan pembangkang bekerjasama jika itu yang dinasihatkan oleh Agong.

Kalau diminta oleh istana, katanya, parti politik perlu mengikutinya.

"Jadi, ada kemungkinan dua calon itu dipanggil ke istana untuk membincangkan sama ada boleh kompromi atau tidak," katanya.

Ketika ini menurut Azizuddin ramai rakyat marah apabila kerajaan PN naik semula selepas dijatuhkan baru-baru ini dan pihak istana boleh 'mencelah' bagi meredakan keadaan. 

Bagaimanapun, menurutnya, ia haruslah dibuat dalam ruang lingkup perlembagaan.

Bergantung kepada istana

Mengenai keperluan undi percaya di Parlimen jika kerajaan dan pembangkang bekerjasama, Azizuddin berkata ia tetap perlu dilakukan kerana sebelum ini tidak dilakukan apabila Muhyiddin Yassin naik sebagai perdana menteri.

Katanya selain prosedur itu dicadangkan oleh pakar perlembagaan ia juga dirasakan perlu oleh Agong.

"Peluang untuk perdana menteri menang undi percaya itu tinggi sebab dah ada keserasian dari segi kerjasama sebab kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran itu diwujudkan," tambahnya.

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, cadangan tersebut bergantung kepada perkenan Agong.

"Sekarang ini, di atas kertas majoritinya sudah ada pada seorang (calon perdana menteri) dan kalau nak bentuk kerajaan juga sudah boleh.

"Cuma, kita tidak mahu lagi berlaku keadaan tidak puas hati apabila Bersatu menarik sokongan atau sebagainya maka akan tumbang lagi kerajaan sedia ada.

"Jadi, sekarang ini saya sebagai penganalisis dan juga sebagai rakyat kalau boleh tak mahulah tengok lepas ini berlaku lagi tarik sokongan, tumbangkan perdana menteri.

"Sekarang kita nak selesaikan masalah negara ini bukan masalah politik yang saling merebut jawatan dan kuasa.

"Sekiranya kerajaan perpaduan ini dapat dibentuk maka ia merupakan satu cara yang baik cuma ia bergantung kepada Agong dan Majlis Raja-raja," katanya.

Tiada ulasan: