"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Membazir air mata untuk ditangisi: Kejatuhan PN selayaknya dirai sebagai kemenangan rakyat

Kejatuhan PN tidak harus ditangisi, selayaknya dirai sebagai kemenangan rakyat

GHAFAR NS

Tidak perlulah bersedih dengan kejatuhan #KerajaanGagal Perikatan Nasional (PN) pada 16 Ogos 2021 lalu kerana ia sebenarnya satu kemenangan besar untuk seluruh rakyat Malaysia.

Pentadbiran kerajaan selama 17 bulan selayaknya tidak ditangisi tetapi dirai dengan penuh suka cita kerana Malaysia dan rakyat seluruhnya kini mempunyai ruang untuk ditadbir sebuah kerajaan baharu, yang diharapkan jauh lebih kompeten daripada PN.

Membazir air mata dan waktu untuk beremosi atas kejatuhan sebuah kerajaan yang meragut belasan ribu nyawa dampak pandemik.

Kerajaan ini juga telah membiarkan sektor kesihatan terkontang-kanting menguruskan penularan wabak Covid-19 tanpa ada usaha tuntas, membiarkan nama Malaysia busuk di persada dunia dengan menjadi antara negara tercorot dan gagal menguruskan masalah wabak ini.

Setakat hari kejatuhan PN, jumlah kematian dilaporkan adalah sebanyak 12,784 nyawa dan seramai 1,047 mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Adakah Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin ini pernah sekurang-kurangnya sekali memohon maaf atas pemergian mangsa-mangsa Covid-19 di bawah pentadbiran gagalnya? Sungguhpun dalam perutusan terakhirnya?

Bukalah mata, bangun dari lena dan ambil tahulah isu politik semasa yang semestinya riuh, tidak menarik, tetapi penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia membuat penilaian yang tepat.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) dilaksanakan dengan sambil lewa oleh kerajaan, ekonomi negara dan rakyat khususnya peniaga-peniaga kecil merosot dan memburuk.

Sejak kes melonjak naik pada Jun tahun ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kerap melaporkan bahawa kluster tempat kerja dan kilang-kilang terus mencatat kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Walaupun rakyat lantang mendesak kerajaan menutup kilang hingga tanda pagar #TutupKilang viral di media-media sosial, kerajaan tetap berkeras membenarkan sektor-sektor yang mendapat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terus bergerak kerja seperti biasa.

Tiada ketegasan yang ditunjukkan, malah teguran serta cadangan daripada pihak pembangkang terus diabaikan sehingga kes terus melonjak tidak menunjukkan penurunan ketara sehingga hari ini.

Pengabaian dan sikap tidak peduli kerajaan kepada nasib rakyat amat ketara menerusi ‘kuncitara’ berterusan tanpa usaha tuntas kerajaan.

Mahiaddin dan seluruh Jemaah Menteri Kabinetnya sombong, angkuh dan memekakkan telinga ketika ribuan rakyat mengangkat bendera putih dan ketika rakyat membantu rakyat lain yang kesempitan.

Sehingga ke perutusan media terakhir, Mahiaddin ini angkuh menjaga kepentingan diri dan bermain politik dengan mengatakan kononnya peletakan jawatan ini adalah kerana tidak mahu berkompromi dengan kleptokrat.

Adakah ini benar? Sedangkan di awal rampasan kuasa yang dibuat menerusi Langkah Sheraton pada Mac 2020, beliau tanpa segan silu mengkhianati mandat rakyat dan berpeluk cium dengan kleptokrat-kleptokrat ini.

Jadi, wajarkah bersedih untuk seorang pemimpin yang cakap tak serupa bikin begini?

Walaupun dimulutnya sering menyalahkan pihak-pihak lain, menjadi abah yang sayangkan semua, mengatakan bahawa pihak lain yang rakus mahu merampas kuasa, tetapi Mahiaddin hanyalah pelakon hebat dan ahli politik licik yang patut dihapuskan terus karier politiknya di Malaysia.

Orang Melayu sentiasa taat pada Raja-Raja dan Sultannya.

Tapi, dek kerana bimbang jawatannya dan keabsahan Kabinetnya tergugat sebelum ini, PM dengan dua nama ini sudah beberapa kali mengabaikan surat dari Istana Negara, mempertikai titah Diraja Yang di-Pertuan Agong dan membelakangkan baginda.

Bukankah ini biadab dan satu penderhakaan bukan sahaja kepada Ketua Utama Negara, tetapi Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen Malaysia?

Kita khususnya orang Melayu tidak perlu bersedih dengan kejatuhan PN, sebaliknya bersorak gembira kerana tiada lagi yang mampu mencemar atau memperkotak-katikkan Institusi Diraja setelah kejatuhan kerajaan yang menipu rakyat, kononnya kerajaan PN akan membela Melayu dan Islam.

Senarai kegagalan kerajaan 17 bulan Perikatan Nasional terlalu panjang untuk dicoret dalam satu lembaran artikel.

La Tahzan, janganlah bersedih pilu atas kejatuhan sebuah kerajaan yang dibina atas pengkhianatan dan penipuan, tanpa kompetensi yang diperlukan dalam menyelamatkan tanah air ini daripada kemelut ekonomi, politik, apatah lagi pandemik Covid-19 kerana kemabukan kuasa.

Tiada ulasan: