"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pulak dah!!! Hong Kong tak iktiraf rekod vaksinasi Malaysia

Geraldine Tong

Perubahan dasar di Hong Kong yang berkuat kuasa mulai esok menyaksikan penerima vaksin di Malaysia tidak dibenarkan memasuki wilayah itu.

Keputusan tersebut sekali gus meletakkan pelajar dan ahli perniagaan yang ada urusan di Hong Kong kini berada dalam keadaan tidak menentu.

Pada 1Ogos lalu pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan mereka mengemas kini senarai yang dianggap negara berisiko tinggi dengan menambah 15 lagi negara termasuk Malaysia.

Ia menjadikan senarai larangan itu bertambah kepada 25 negara. Ia berkuat kuasa tengah malam ini.

Dengan larangan terbaru itu, residen Hong Kong yang tinggal di 25 negara terbabit mestilah lengkap divaksin apabila tiba di pulau berkenaan sebagai syarat tambahan kepada ujian wajib serta kuarantin selama 21 hari.

Ini berbeza dengan negara berstatus "berisiko sederhana" dan "berisiko rendah" apabila pengunjung yang tidak divaksin atau divaksin separuh masih dibenarkan masuk dengan jangka waktu kuarantin yang lebih lama.

Namun, pada waktu yang sama, Hong Kong hanya mengakui sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan tertentu dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Syarat kemasukan menetapkan bahawa catatan vaksinasi pengunjung mesti dikeluarkan oleh Hong Kong sendiri, pihak berkuasa di Tanah Besar China atau Macau, atau pihak berkuasa negara yang mempunyai perjanjian pengakuan rekod vaksinasi dua hala dengan Hong Kong.

Rekod vaksinasi yang dikeluarkan oleh salah satu dari 36 pihak berkuasa ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai "pihak berkuasa pengawalseliaan yang ketat" juga diterima.

Sebagai rekod, "pihak berkuasa pengawalseliaan yang ketat" merujuk kepada anggota Majlis Antarabangsa untuk Harmonisasi Keperluan Teknikal untuk Farmaseutikal untuk Penggunaan Manusia (ICH) dan sekutunya.

Daripada 25 negara yang diklasifikasikan sebagai "berisiko tinggi" oleh pihak berkuasa Hong Kong, hanya lapan yang mempunyai pihak berkuasa kesihatan yang diklasifikasikan sebagai ketat.

Ini bermakna terdapat 16 negara lain yang berpotensi berada dalam keadaan sama seperti Malaysia, termasuk Brazil, India, Filipina, Rusia, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, Yap Wei Sin, mengesahkan penduduk Hong Kong yang diberi vaksin di Malaysia tidak dibenarkan Hong Kong apabila dasar baru itu berkuat kuasa.

Yap bagaimanapun memberi jaminan pihaknya sedang berusaha mencari jalan keluar dan menggesa mereka yang terlibat dengan dasar terbabit mengikuti perkembangan semasa yang disalurkan melalui media sosial dan laman web konsulat untuk mendapatkan maklumat terkini.

Tiada ulasan: