"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong jumpa 114 Ahli Parlimen hari ini untuk sahkan sokongan Ismail dilantik PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sejumlah 114 Ahli Parlimen yang dilaporkan menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen berkenaan merangkumi pelbagai parti yang membentuk pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini.

Ini termasuk dari Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah, STAR serta beberapa ahli Bebas.

Mereka dijangka menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam beberapa kumpulan mulai 10 pagi sehingga 5 petang.

“Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong mahu mengesahkan pendirian mereka dalam menyokong Ismail Sabri,” kata sumber itu.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan turut mengesahkan pihak Istana Negara sudah menghantar jemputan kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong pencalonan Ismail sebagai Perdana Menteri supaya hadir untuk membuat pengesahan, portal PNBBC melaporkan.

Perkembangan itu menyusul setelah Ismail dilaporkan memperoleh sokongan lebih 111 Ahli Parlimen untuk memperolehi majoriti mudah di Parlimen.

Sumber turut memberitahu FMT, ketua pembangkang Anwar Ibrahim hanya berjaya meraih sokongan 92 Ahli Parlimen.

Laporan sebelum ini menyebut kesemua 220 Ahli Parlimen telah menyerahkan akuan berkanun bagi calon Perdana Menteri mereka sebelum 4 petang tadi kepada Istana Negara.

Susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, Ismail serta Anwar dilihat sebagai calon utama dalam persaingan untuk membentuk kerajaan baharu.

Tiada ulasan: