"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahiaddin sah letak jawatan, pengumuman rasmi Isnin ini

SHAHBUDIN HUSIN

Sah, Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin secara rasmi menawarkan diri untuk berundur daripada jawatannya.

Pemakluman tentang hasrat tersebut disampaikan oleh Mahiaddin dalam perjumpaan beliau dengan ketua-ketua parti dalam kerajaan PN, menteri dan timbalan menteri di Putrajaya, petang tadi.

Namun demikian, pengumuman rasmi dijangka hanya dibuat pada Isnin, 16 Ogos selepas Mahiaddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, sekaligus menyerahkan surat perletakan jawatannya.

Selepas menyerahkan surat perletakannya kepada Agong, barulah suatu pengumuman rasmi mengenai kedudukan beliau akan diumumkan.

Dalam perjumpaan petang tadi, meskipun Mahiaddin secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk berundur, tetapi timbul juga pandangan lain yang meminta beliau bercuti terlebih dahulu sebelum meletak jawatan.

Pandangan itu seterusnya disusuli dengan harapan agar Ismail Sabri Yaakob dicadangkan sebagai Pemangku Perdana Menteri untuk memastikan kerajaan PN terus dapat dikekalkan.

Mahiaddin bagaimanapun dilaporkan tetap dengan pendiriannya untuk berundur itu kerana beliau kini merasakan jalan di hadapannya sudah menjadi jalan mati.

Khusus yang menyebabkan Mahiaddin jadi terperosok ialah berikutan penolakan blok pembangkang terhadap tujuh tawaran yang diumumkannya semalam.

Bagi Mahiaddin, dengan penolakan tersebut, khususnya oleh DAP, beliau tidak mempunyai jalan lain lagi untuk menambah jumlah sokongan setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Selepas perjumpaan di Seri Perdana yang dihadiri Mahiaddin petang tadi, beberapa menteri dan timbalan menteri kemudiannya berkumpul di pejabat seorang menteri di sebuah kementerian untuk membincangkan langkah susulan seterusnya.

Dalam pertemuan tersebut, ada yang melahirkan rasa kecewa, sedih dan tidak dapat menerima keputusan Mahiaddin untuk berundur daripada jawatannya, tetapi ada juga yang bersikap terbuka serta menghormati pilihan yang telah diputuskan oleh Perdana Menteri.

Begitu pun, mereka kini sedang berusaha sedaya upaya memastikan kerajaan PN terus kekal dan nasib sebahagian mereka sebagai menteri dan timbalan menteri dapat terus dipertahankan.

Apa pun, segala-galanya akan terpulang kepada Agong membuat penentuan tentang bagaimana bentuk kerajaan seterusnya sama ada melantik Pemangku Perdana Menteri, melantik Perdana Menteri interim atau membenarkan kewujudan kerajaan baru.

Sabar sikit, tunggu Isnin untuk mengetahui segala-galanya, tetapi yang penting, Mahiaddin bukan lagi Perdana Menteri selepas Isnin nanti.

Tiada ulasan: