"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SD sudah diserah, kini terpulang pada Agong

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Ahli Parlimen daripada PKR, DAP dan GPS antara yang sudah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menamakan calon perdana menteri sebelum 4 petang hari ini.

Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan SD menyokong Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri manakala Perikatan Nasional (PN) masih belum menyatakan pendirian siapa mahu dinamakan.

“Semua Ahli Parlimen Umno dan BN sudah menyerahkan SD masing-masing malam tadi dan pagi ini kami hanya memastikan semua Ahli Parlimen sudah menyerahkannya,” kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan kepada FMT.

Beliau turut mengesahkan semua Ahli Parlimen BN menyokong Ismail sebagai calon perdana menteri.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, “semua 18 SD” daripada PAS juga sudah diserahkan kepada Istana Negara awal hari ini sambil menambah beliau dimaklumkan perkara itu ketika mesyuarat bersama pemimpin PAS di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan pendirian gabungan itu berhubung calon perdana menteri petang ini.

Kebanyakan parti politik lain turut mengesahkan sudah menyerahkan SD masing-masing.

“Ya, semua SD sudah diserahkan,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Mesej di kumpulan WhatsApp DAP untuk petugas media turut mengesahkan bahawa semua Ahli Parlimen parti itu sudah “menyerahkan SD mereka masing-masing”

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Hatta Ramli memberitahu FMT semua 11 Ahli Parlimen Amanah telah menghantar SD mereka kira-kira 2.40 petang.

Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin juga mengesahkan Ahli Parlimen parti itu telah menyerahkan SD mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberitahu FMT bahawa “17 Ahli Parlimen disahkan (telah) hantar”.

“YB yang lain tidak dapat datang ke Kuching sebentar tadi,” katanya.

PBB adalah komponen utama dalam GPS, gabungan kerajaan di Sarawak yang mempunyai 18 Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Labuan daripada Warisan Rozman Isli juga mengesahkan semua Ahli Parlimen parti itu menyerahkan SD mereka sebelum tarikh akhir 4 petang hari ini.

Katanya, SD yang ditandatangani dihantar melalui e-mel dan WhatsApp ke Istana Negara.

Dalam pada itu, pembantu presiden STAR Jeffrey Kitingan juga mengesahkan bahawa timbalan ketua menteri Sabah sudah menghantar SDnya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam meminta semua Ahli Parlimen memberikan SD bagi menyatakan sokongan mereka terhadap calon perdana menteri selewat-lewatnya 4 petang hari ini.

Walaupun tidak ada format ditetapkan untuk SD yang dihantar kepada setiausaha peribadi Agong, Ahli Parlimen diberitahu bahawa ia mesti merangkumi perincian hanya satu calon, dengan pernyataan jelas dan tanpa syarat mengenai sokongan Ahli Parlimen berkenaan.

Azhar berkata, SD juga harus memasukkan tarikh, tandatangan Ahli Parlimen, tandatangan saksi atau cop rasmi sekiranya saksi itu adalah peguam bela, peguam cara, pesuruhjaya sumpah atau notari awam.

Tiada ulasan: