"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa dah jadi remaja kita? Purata 133 pelajar dirogol setiap bulan hingga Jun lalu

Harapandaily

Statistik kes rogol melibatkan remaja menyaksikan secara purata sekurang-kurangnya 133 pelajar dilaporkan menjadi mangsa jenayah itu antara tempoh Januari hingga Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini 799 pelajar menjadi mangsa jenayah rogol.

Menurutnya, dalam tempoh sama juga, pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah seperti buli dan gangsterism didapati semakin meningkat.

Jelasnya, sejumlah 237 pelajar direkodkan terbabit dengan jenayah kekerasan ini seperti mencederakan merusuh, ugutan jenayah, pemerasan, gaduh gempar dan khianat.

Walaupun statistik pelajar menjadi mangsa jenayah rogol yang direkodkan itu kecil, katanya, tindakan pencegahan adalah mustahak bagi membanteras jenayah tersebut.

“Walaupun jumlah tersebut adalah kecil berbanding jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah yang melebihi lima juta orang, namun tindakan pencegahan penting bagi mengekang peningkatan pembabitan di masa hadapan,” katanya.

Peratusan itu dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada majlis pelancaran Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen HGH di Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Berkenaan usaha mengekang peningkatan kes jenayah dalam kalangan murid sekolah, Razarudin berkata, PDRM menghasilkan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA).

Beliau berkata, MESRA mempunyai lapan sub modul seperti kesalahan seksual, buli dan gangsterisme, penyalahgunaan dadah, kesalahan lalulintas, pemerdagangan orang, penipuan dalam talian dan kesihatan mental.

“Kementerian Pendidikan (KPM) dan PDRM akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan mempelbagaikan inisiatif termasuk pembabitan PPS dalam memantau dan menangani isu salah laku disiplin pelajar di sekolah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menambah, PDRM menyokong sepenuhnya inisiatif pelantikan Duta Sahsiah dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan diyakini akan memberi aspirasi yang lebih memberangsangkan dalam kalangan murid.

Tiada ulasan: