"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UAE tahan 3 suspak berkaitan pembunuhan rabbi Israel

BHarianonline 
Rabbi Israel, Zvi Kogan, berdiri di luar sebuah pasar raya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), gambar tangkap layar yang diperoleh dari video media sosial. - Foto REUTERS
Rabbi Israel, Zvi Kogan, berdiri di luar sebuah pasar raya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), gambar tangkap layar yang diperoleh dari video media sosial. - Foto REUTERS
DUBAI: Tiga suspek telah ditahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung pembunuhan yang didakwa melibatkan seorang warganegara Israel, kata Kementerian Dalam Negeri UAE pada Ahad.

Kenyataan kementerian itu tidak memberikan butiran mengenai suspek atau sama ada mereka telah didakwa.

namun, ia menegaskan bahawa semua kuasa undang-undang akan digunakan 'untuk bertindak tegas dan tanpa kelonggaran terhadap sebarang tindakan atau cubaan yang mengancam kestabilan masyarakat'.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengutuk pembunuhan rabbi Zvi Kogan, 28, sebagai 'tindakan pengganas antisematik yang kejam' dan berkata Israel akan melakukan segala yang mungkin untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kogan adalah penduduk UAE dan juga warga Moldova, menurut pihak berkuasa tempatan. Beliau bekerja dengan pergerakan Yahudi Ortodoks Chabad yang berpangkalan di New York dan pertama kali dilaporkan hilang pada hari Khamis. Mayatnya ditemui pada Ahad.

Kementerian Luar Israel berkata semua agensi Israel terlibat dalam siasatan itu dan dipercayai Kogan kali terakhir dilihat di sebuah pasar raya di Dubai.

Mayat Kogan ditemui di bandar Al Ain, UAE, yang bersempadan dengan Oman, walaupun tidak jelas sama ada beliau dibunuh di sana atau di tempat lain, kata bekas ahli politik Israel, Ayoob Kara, kepada Reuters di Dubai.

Kara, seorang anggota parti Likud yang memerintah Israel dan menyokong hubungan ekonomi antara Israel dan dunia Arab, berkata terdapat petunjuk yang menunjukkan siasatan mencurigai penglibatan Iran.

Kedutaan Iran di UAE berkata mereka 'secara tegas menolak dakwaan penglibatan Iran dalam pembunuhan individu itu'.

Israel mengeluarkan semula peringatan kepada warganya untuk mengelakkan perjalanan yang tidak penting ke UAE dan menasihatkan mereka yang kini berada di sana meminimumkan pergerakan, kekal di kawasan yang selamat, dan mengelakkan tempat dikaitkan dengan Israel atau penduduk Yahudi.

Rumah Putih berkata ia sedang bekerjasama rapat dengan Israel dan UAE.

"Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya pembunuhan Rabbi Zvi Kogan di UAE dan doa kami bersama keluarganya," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Sean Savett. - REUTERS

Tiada ulasan: