Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
Seremban: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim di Istana Hinggap di sini, jam 2 petang ini.
Difahamkan, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jusseh akan menawarkan untuk meletak jawatan selepas beliau dilaporkan gagal mengemukakan senarai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu.
Sumber memberitahu, Ismail tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa mempertimbangkan untuk berundur selepas tidak mendapat sokongan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Situasi itu menyebabkan beliau juga dikatakan kesuntukan masa untuk membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Selepas bertemu Ismail, Tuanku Muhriz dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pemimpin UMNO terbabit dijangka akan memaklumkan kepada baginda mengenai situasi politik negeri, susulan tindakan 24 ADUN di negeri ini yang sudah memberikan mandat kepada kepimpinan parti untuk menentukan siapa yang wajar memegang jawatan Menteri Besar.
Keputusan sama ada Ismail kekal sebagai Menteri Besar atau akan digantikan, dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Setakat ini, tidak dapat disahkan sama ada Ismail akan turut hadir bersama pemimpin BN dalam sesi menghadap Tuanku Muhriz.
Krisis istana dan pentadbiran Negeri Sembilan kini menghampiri empat bulan selepas ia tercetus sebaik selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu.
Ia bermula apabila Ismail menandatangani proklamasi mengenai status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 3 Ogos iaitu sehari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan