"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lima warga emas parah, bas persiaran terbabas turun bukit

Juwan Riduan

PAPAR: Lima warga emas cedera parah selepas sebuah bas persiaran membawa 21 individu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika menuruni bukit di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.34 petang itu, lima mangsa dilaporkan tersepit di dalam bas sebelum berjaya dikeluarkan orang awam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, lima mangsa terbabit terdiri daripada dua lelaki berusia 71 dan 64 tahun serta tiga wanita berusia antara 60 hingga 66 tahun.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk di bahagian kepala, dada, bahu dan muka, selain patah kaki, tangan serta jari.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.34 petang sebelum menggerakkan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.58 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 21 penumpang.

“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera bersama pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Nelson berkata, kesemua 21 individu dalam bas itu adalah warganegara Malaysia dan dilaporkan dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Tiada ulasan: