"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dari Taiping gagal cabar penukaran agama ketika kanak-kanak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 29 tahun gagal dalam usaha mencabar penukaran agamanya kepada Islam di Mahkamah Tinggi Taiping.

Ibu bapa lelaki itu membawanya, yang ketika itu berusia 8 tahun, ke pejabat agama daerah Taiping pada 15 Ogos 2002, dan mengislamkannya dan adik-beradiknya.

Beliau mendakwa tidak membaca kalimah syahadah pada masa itu.

Lelaki itu juga mendakwa keluarganya tidak mengamalkan Islam selepas itu, dan ibu bapanya kesal dengan keputusan mereka memeluk Islam.

Tambahnya, beliau juga tidak pernah mengamalkan Islam sebaliknya mengamalkan agama Hindu sepanjang hayatnya.

Beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, memohon deklarasi bahawa beliau bukan orang Islam dan bahawa pemelukan Islamnya tidak sah.

Lelaki itu menamakan kerajaan Perak dan majlis agama Islam dan adat Melayu negeri sebagai defendan.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Nurdin membenarkan permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan tuntutan itu atas alasan lelaki itu sepatutnya membuat tuntutan di Mahkamah Syariah.

“Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana terletak bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk terlebih dahulu menentukan kesahihan pemelukan agama,” katanya.

Mahkamah turut mengambil maklum bahawa lelaki itu dan adik-beradiknya sebelum ini memfailkan permohonan penolakan agama Islam itu di hadapan Mahkamah Syariah tetapi kemudian menariknya balik.

“Mahkamah tidak boleh membuat spekulasi bahawa, jika beliau meneruskan (permohonan di Mahkamah Syariah), beliau mungkin akan diarahkan untuk mendapatkan ‘kaunseling’ seperti dalam kes seorang wanita berusia 37 tahun,” kata Ruwena.

Ruwena merujuk pada kes melibatkan seorang wanita dari Selangor, yang merayu untuk mencabar status agamanya di Mahkamah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berjaya dalam rayuannya tahun ini untuk mengembalikan status wanita itu sebagai orang Islam.

Sebelum membawa kesnya ke mahkamah sivil, wanita itu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau bukan lagi orang Islam, tetapi permohonan itu ditolak.

Tiada ulasan: