"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pati India, Pakistan sengaja 'cari penyakit'

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Ruslin Jusoh bersama Muhammad Zaki dan Azhar meninjau sempadan Malaysia-Thailand dengan menaiki bot di sungai Golok sempena lawatan kerja beliau ke Kelantan di Pengkalan Kubor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Tumpat: Tindakan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Pakisan dan India menyeludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok sebelum ditahan, baru-baru ini dikenal pasti akibat mahu mengelak cubaan mereka bekerja secara haram dikesan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, walaupun mereka menggunakan dokumen perjalanan yang sah masuk ke Thailand, warga asing terbabit perlu mempunyai visa untuk masuk ke Malaysia.

"Mereka tahu untuk permohonan visa pelancong di Malaysia agak sukar dan perlu melalui beberapa proses termasuk temuduga supaya kita mengetahui tujuan sebenar mereka ke Malaysia.

"Ini kerana berdasarkan temuduga sebelum ini mendapati kebanyakan mereka mengatakan datang (ke Malaysia) untuk melancong, namun gagal mengemukakan dokumen termasuk tempat tinggal.

"Jadi untuk lebih senang mereka memilih turun (datang) ke Thailand dan masuk ke Malaysia menerusi pengkalan haram di Sungai Golok," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JIM Kelantan, Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Menurutnya, berdasarkan rekod, permohonan visa daripada warga Pakistan dan India paling banyak ditolak setakat ini kerana gagal mengemukakan sebab yang kukuh untuk memasuki negara ini.

Katanya, berikutan itu JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan di sempadan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

"Selain laluan pengkalan haram Sungai Golok, JIM tidak menolak kemungkinan laluan laut juga berpotensi untuk kemasukan Pati berkenaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan sebagai rumah transit Pati terbongkar dalam serbuan Op Gelombang V pada 13 September lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 51 Pati terdiri daripada 39 lelaki dan empat wanita warga India, dua lelaki Pakistan serta dua wanita dan empat kanak-kanak lelaki warga Thailand berusia dua hingga 60 tahun ditahan.

Turut ditahan adalah lima ahli sindiket yang juga warga tempatan terdiri daripada pemilik hotel bajet, dua penjaga premis dan dua transporter berusia 23 hingga 57 tahun.

Tiada ulasan: