"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nak protes biar kena tempatnya

Mohsin Abdullah

Saya tidak ada hal dengan perhimpunan. Tidak ada masalah buat saya jika sesiapa berhimpun untuk protes dan bantah sesuatu isu asalkan ia berjalan aman. Bukan saya menggalak khalayak berhimpun dan berdemonstrasi. Sekadar memegang hakikat kebebasan bersuara tertakluk kepada Perlembagaan. Bahagian II di dalam Perlembagaan ada peruntukan menjamin kebebasan asasi manusia. Salah satu kebebasan asasi ialah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang terkandung di dalam Perkara 10 Perlembagaan.

Bagaimanapun bagi saya, seperti tertera di tajuk artikel ini, kalau nak adakan himpunan biarlah kena dengan tempatnya. Contoh, jika bantah sesuatu tindakan yang didakwa tidak adil yang dilakukan Amerika Syarikat buatlah di kedutaan AS. Jika tidak senang dengan tindakan Rusia adakan bantahan di kedutaan negara itu.

Di negara ini kerap kali protes terhadap kekejaman Israel diadakan di kedutaan AS, tetapi ini boleh difahami kerana tidak ada kedutaan Israel di negara ini. Kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Tel Aviv. Oleh itu kedutaan AS dijadikan sasaran kerana Washington sekutu rapat Israel. Perangai Israel diadu kepada AS. Nota bantahan diserah kepada wakil kedutaan untuk dipanjangkan kepada pemimpin Israel. Apa pun protes ke atas Israel diadakan di kedutaan AS “boleh diterima” atas sebab yang disebut tadi, tetapi tidak untuk isu membabitkan negara lain.

Jika bantahan dibuat kerana tidak puas hati terhadap keputusan lepas tanpa bebas Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan di mahkamah, proteslah di Jabatan Peguam Negara sebab pihak peguam negara lah yang memohon Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ya, saya merujuk himpunan yang diadakan oleh Pemuda Perikatan Nasional semalam yang dinamakan Himpunan Selamatkan Malaysia. Ia diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Asalnya tapak protes di pusat beli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kemudian dilaporkan Bukit Bintang. Kesudahannya Kampung Baru jadi pilihan.

Saya tidak bercadang mengulas mengapa venue himpunan bertukar-tukar. Mungkin ada sebab tertentu yang ‘memaksa’ penganjur berbuat demikian. Pun begitu bagi saya Sogo mahu pun Jalan Bukit Bintang bukan tapak sesuai untuk bantah keputusan berhubung kes Zahid. Tidak ada kaitan pun tempat itu dengan peguam negara. Seperti dikatakan tadi marah dengan peguam negara pergi ke Jabatan Peguam Negara.

Mungkin penganjur mahu himpunan mendapat perhatian orang ramai lantas mahu diadakan di tempat kegemaran orang ramai. Saya tahu protes yang tidak mendapat perhatian ramai tidak akan ada kesan.

Tetapi jangan disamakan dengan demonstrasi pro-Anwar Ibrahim pada 1998. Memang ketika itu protes diadakan hampir setiap Sabtu di hadapan Sogo dan Masjid Jamek Kampung Baru – dua tempat favourite. Diakui para demonstran juga mahu menarik perhatian ramai. Namun perlu diingat waktu itu mereka berdepan tindakan keras pihak berkuasa yang menghalang tunjuk perasaan diadakan walau dimana pun. Lalu demonstrasi diadakan di beberapa tempat. Perlu diingat juga ada demonstran yang cuba pergi ke Sri Perdana. Mereka dihalang polis anti-rusuhan. Tidak perlu saya jelaskan apa yang berlaku. Erinya ada niat mahu bantah di tempat bantahan yang difikir wajar diadakan tetapi dihalang.

Perlu diakui keadaan berbeza sekarang. Perhimpunan dibenarkan selaras Akta Perhimpunan Aman walaupun ada syarat tertentu yang tidak disenangi sesetengah pihak. Bagi himpunan semalam tidak ada sekatan jalan raya, tidak gas pemedih mata, tidak ada tindakan keras suraikan himpunan, tidak ada tangkap. Akan tetapi himpunan berkenaan dikatakan tidak menepati beberapa syarat. Oleh itu polis boleh memanggil pihak penganjur untuk tindakan susulan.

Bercakap mengenai protes di masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan atau Jawi diarah membuat pemantauan ke atas institusi masjid dan surau bagi “memastikan tiada mana-mana pihak menyalahgunakannya untuk membuat himpunan politik.”

Arahan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na’im Mokhtar yang berkata kerajaan bimbang dengan kecenderungan “pihak-pihak tertentu menjadikan masjid atau surau sebagai platform awal untuk berhimpun.” Arahan dibuat sehari sebelum himpunan di Masjid Jamek Kampung Baru diadakan. Mungkin beliau bercakap secara am. Beliau tidak menamakan mana-mana pihak tetapi boleh dilihat merujuk pada protes 16 Sept anjuran Pemuda PN.

Bagi saya arahan berkenaan menyulitkan Jawi dan pihak masjid (mana-mana masjid). Bagaimana dan apa yang hendak dipantau? Dalam soal Masjid Jamek Kampung Baru, peserta himpunan yang hampir semuanya orang Melayu-Islam datang ke masjid untuk mendirikan solat zohor terlebih dahulu walaupun semua maklum tujuan mereka seterusnya. Adakah pihak masjid mesti menghalang mereka? Halang daripada sembahyang?

Selesai sembahyang mereka menjalankan bantahan tetapi di luar perkarangan masjid. Di depan gate utama masjid. Ucapan politik pemimpin dibuat di situ. Bukan di dalam masjid. Saya anggap arahan menteri agama sesuatu unnecessary dan overreacting.

Seperkara lagi sebelum saya undur diri kali ini. Oleh kerana himpunan dikatakan anjuran Pemuda PN, ahli Bersatu pasti menyertainya bersama rakan akrab PAS. Cuma yang ingin saya tahu dalam kesibukan memprotes, sempatkah mereka mengikuti hantaran Facebook bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak yang mendakwa bos mereka Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN tidak diundang ketika pemimpin PAS bertemu Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Dakwa Salleh lagi, PAS mahu angkat Mahathir jadi ketua de facto PN. Ini kita cerita sehari dua lagi, insya-Allah.

Tiada ulasan: