"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salleh Said Keruak: Dr M mahu pengaruh lebih berkesan untuk lemahkan Anwar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengambil peranan sebagai penasihat bagi perkumpulan negeri-negeri yang diperintah Perikatan Nasional untuk melemahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menurut bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak.

Salleh berkata peranan Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi negeri-negeri pimpinan PN itu hanya akan memberi manfaat kepadanya sekiranya beliau menjadi ahli Dewan Rakyat dan ketua pembangkang.

“Mahathir seorang ahli politik yang sangat pintar. Beliau lebih pintar daripada kebanyakan kita,” katanya di Facebook.

“Beliau mahukan pengaruh yang lebih berkesan ke atas ruang politik supaya dia boleh melemahkan kawalan dan pengaruh perdana menteri.”

Salleh berkata usia bukan penghalang dalam politik maka jangan memandang rendah kehendak bekas perdana menteri itu.

“Apabila berurusan dengan seteru, perhatian tindakan dan niatnya. Jika seseorang tidak bertindak dahulu, dia yang pertama sekali akan menderita.”

Bekas menteri itu menambah PAS tidak akan menyokong Mahathir kecuali parti itu percaya beliau boleh bantu PN menjadi kerajaan semula.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada Khamis lalu berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4, bersama Mahathir.

Beliau berkata ketika ini pihaknya hanya akan mendapatkan nasihat Mahathir secara tidak rasmi.

Tiada ulasan: