"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dendam main mercun dipercayai punca Darvnrajh ditikam 18 kali

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca
Melaka: Dendam dipercayai menjadi motif pemuda dibunuh kejam sebelum mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman di dalam timbunan semak berhampiran kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, susulan daripada penemuan mayat mangsa iaitu R Darvnrajh, 24, satu operasi khas 'Op Kejam' dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, susulan itu enam lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun yang juga teman mangsa ditahan di sekitar Tampin, Negeri Sembilan minggu lalu.

"Siasatan dijalankan mendapati punca mangsa dibunuh adalah kerana rasa tidak puas hati membabitkan dendam lama iaitu kejadian ketika sambutan Deepavali tahun lalu.

"Suspek dikatakan membawa mercun dengan menggunakan motosikal ke taman perumahan berhampiran kediaman mangsa menyebabkan keluarga mangsa menegur dan membuat laporan polis mengakibatkan suspek ditangkap.

"Malah, suspek juga mendakwa susulan daripada kejadian itu mangsa dikatakan berlagak dan menyebabkan mereka marah," katanya.

Zainol berkata, pada jam 10.30 malam, 9 September lalu, semua suspek keluar dengan menaiki sebuah kereta untuk minum di Taman Indah dan membeli 24 tin arak.

"Ketika dalam perjalanan balik ke rumah jam 5.30 pagi selepas minum arak hingga mabuk suspek terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara.

"Suspek kemudian mengajak mangsa minum dan membawanya masuk ke dalam kereta sebelum bertindak membelasah serta memukulnya dengan tangan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Kemuning, dipaksa keluar dari kereta sebelum suspek bertindak menikam dan menetaknya menggunakan parang panjang.

"Mangsa kemudian ditinggalkan di lokasi kejadian sebelum suspek pulang ke rumah selain parang dikatakan disimpan di dalam bonet kereta dinaiki mereka.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 24 September bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan," katanya.

Tiada ulasan: