"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat Mubin kerana qazaf, Jawi

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
Satu laporan dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap individu yang menggunakan nama Mubin Salleh di Facebook.

Badan bukan kerajaan tersebut mahu Mubin disiasat kerana membuat tuduhan palsu iaitu qazaf.

Naib Presiden Abim Pusat, Zairudin Hashim menegaskan, qazaf bukan perkara yang kecil, malah dalam Islam ianya dianggap satu jenayah berat.

“Kalau kita tengok dalam Enakmen Syariah Wilayah Persekutuan Seksyen 41, menyatakan dengan jelas qazaf ini satu kesalahan yang ada hukumannya tersendiri.

“Justeru, kami ingin menekankan kepada masyarakat secara tegas bahawa kita boleh berbeza pandangan politik, masyarakat boleh mengkritik waima Perdana Menteri sekali pun, tetapi kita suburkan politik kematangan dan kesejahteraan.

“Elakkan sampai tahap memfitnah, apatah lagi membabitkan qazaf kerana qazaf bukan satu kesalahan yang biasa, ia melibatkan hukum syarak,” katanya ketika ditemui pemberita di Jawi, hari ini.

Menurut Zairudin lagi, umat Islam diingatkan agar mengelak daripada menormalisasikan perkara sedemikian.

“Elakkan daripada secara sengaja menulis di media sosial berkenaan dengan fitnah yang tidak sepatutnya ditulis oleh kita semua,” tegas beliau.

Terdahulu, Zairudin bersama empat lagi rakannya membuat aduan di Jawi.

Berdasarkan kertas aduan, Zairudin menyatakan bahawa beliau terlihat satu hantaran jelik di Facebook ketika melayari laman sosial itu kira-kira jam 8 malam semalam.

Beliau mendakwa, hantaran jelik itu daripada Mubin Salleh atau nama sebenarnya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang merupakan bekas setiausaha politik kepada kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Mubin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.

“Kenyataan dan hantaran itu jelas berbentuk fitnah dan palsu. Saya percaya individu berkenaan telah mengemukakan satu tuduhan tanpa empat orang saksi atau iqrar orang yang dituduh,” katanya lagi.

Di dalam perkembangan berkaitan, pimpinan Abim Perak turut membuat laporan terhadap Mubin di Ipoh.

Tiada ulasan: