"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah diberitahu Najib terima USD681 juta daripada entiti Singapura

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Penganalisis Bank Negara Malaysia memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa lebih USD681 juta telah dihantar ke akaun bekas perdana menteri, Najib Razak, daripada satu entiti Singapura, 10 tahun lalu.

Adam Ariff Roslan ketika memberi keterangan pada kes perbicaraan 1MDB Najib, berkata entiti dipersoal itu, Tanore Finance Corporation, pada 21 Mac 2013 menerima dana berasal daripada 1MDB.

Katanya, 1MDB menerima sejumlah USD2.72 bilion pada 19 Mac 2013 daripada bon diterbitkan bagi pembangunan projek Tun Razak Exchange (TRX).

Bagaimanapun, Adam berkata, dua hari kemudian, sejumlah USD1.06 bilion dipindahkan ke dua dana fidusiari – Devonshire Funds Ltd (USD646.5 juta) dan Enterprise Emerging Markets Fund atau EEMF (USD414.1 juta).

Pada 21 Mac tahun sama, sejumlah USD600 juta dipindahkan daripada Devonshire ke Tanore (USD210 juta) dan Granton Property Holding Limited (USD430 juta).

Terdahulu, pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan berkata Tanore dan Granton dikawal oleh Tan Kim Loong, pembantu kepada Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low.

Adam juga memberitahu mahkamah, bahawa semua USD430 juta dalam akaun Granton seterusnya dipindahkan ke Tanore pada hari sama.

“EEMF juga menghantar USD250 juta kepada Tanore (pada masa sama),” katanya.

Adam berkata, Najib seterusnya menerima lebih daripada USD681 juta daripada Tanore antara 22 Mac dan 10 April 2013.

Najib berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Tiada ulasan: