"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Pelangai: Ujian untuk rampasan kuasa di Perak, Pahang?

Malaysiakini

Biar apa pun keputusannya, pilihan raya kecil kerusi DUN Pelangai pada 7 Oktober ini mungkin dilihat tidak penting.

Ini kerana BN dan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kerusi yang mencukupi untuk terus membentuk kerajaan negeri Pahang.

Namun Perikatan Nasional merampas kerusi itu, ini dikatakan mampu menjadi pemangkin gelombang yang boleh menggoncang pentas politik.

Bulan lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mendakwa terdapat percubaan PN untuk melamar empat Adun kerajaan negeri supaya berpaling tadah dan merampas negeri itu.

Sumber dalaman yang mula-mula memaklumkan Malaysiakini tentang percubaan di Perak ini sebelum Saarani mengadakan sidang akhbar mengenainya, mendakwa rancangan serupa sedang dirancang di Pahang.

Walaupun tiada sebarang perkembangan sejak dakwaan itu didedahkan kepada umum, namun terdapat spekulasi bahawa pakatan pembangkang sedang menunggu untuk melihat keputusan PRK Pelangai sebelum memulakan langkah seterus mereka.

Pelangai telah lama menjadi kubu kuat BN. Mereka  memenangi kerusi itu dengan 57 peratus undi pada pilihan raya umum tahun lalu.

PN sebaliknya hanya meraih 25.7 peratus undi di Pelangai, manakala Pakatan Harapan memperoleh 16.04 peratus undi.

Bagaimanapun, trend pengundian daripada enam pilihan raya negeri dan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor baru-baru ini menunjukkan bahawa PN semakin mendapat tempat di kalangan pengundi Melayu. Penyokong BN yang kecewa dengan gabungan itu juga dikatakan mula memberi undi mereka kepada PN.

Ini terutamanya bagi penyokong yang tidak dapat menerima hakikat bahawa Umno sekarang bersama DAP - yang suatu ketika dahulu adalah seteru seumur hidup mereka.

Pada PRK Pulai misalnya, walaupun peratusan keluar mengundi adalahdi bawah 50 peratus, namun jumlah undi PN meningkatkan daripada 17.6 peratus kepada 38 peratus, manakala jumlah sebenar undi yang diterima meningkat hampir 9,000.

Jika PN boleh mengulangi keputusan yang sama di Pelangai dan menang, ini boleh menggalakkan pakatan pembangkang untuk merancang rampasan kuasa melalui  lebih banyak pilihan raya kecil.

Di Pahang, jika PN memenangi Pelangai, ia hanya memerlukan tiga kerusi lagi untuk membentuk kerajaan negeri.

Kerusi yang berpotensi dirampas PN berdasarkan undi yang diterima mereka tahun lepas termasuk Padang Tengku (43.8 peratus), Tioman (45.5 peratus), Chini (42.6 peratus), Muadzam Shah (43.8 peratus), dan Inderapura (40.1 peratus).

Kelima-lima DUN ini adalah kerusi majoriti Melayu, memberikan PN peluang yang kukuh untuk meraih perubahan daripada pengundi konservatif.

Ini, sudah tentu, dengan andaian bahawa PN mampu  meyakinkan penyandang kerusi berkenaan untuk berpaling tadah dengan menjadikan kemenangan di Pelangai untuk mewajarkannya, selaras dengan kehendak rakyat.

Jika mereka berjaya memujuk Adun berkenan untuk melompat, tiada pilihan raya kecil perlu diadakan. Ini kerana Pahang belum lagi menggubal undang-undang anti-lompat di peringkat negeri.

Kerajaan negeri sepatutnya berbuat demikian pada Mei lalu tetapi menangguhkan pembentangan untuk mengkaji lebih lanjut undang-undang berkenaan.

Sementara itu, di Perak, peluang PN untuk memenangi pilihan raya kecil kelihatan lebih tipis.

Kerusi bukan milik PN yang gabungan itu memperoleh undi hampir 40 peratus - dan mempunyai asas undi Melayu yang tinggi - ialah Belanja (38 peratus), Temengor (37.8 peratus), Kota Tampan (37.3 peratus), Pengkalan Baharu (34.3 peratus), Tualang Sekah (33.3 peratus), Sungai Rapat (32.2 peratus).

Antara kerusi-kerusi ini, Belanja dan Kota Tampan adalah pilihan terbaik PN kerana jumlah pengundi Melayu yang tinggi.

Bagaimanapun, Kota Tampan tidak mungkin akan tercicir kerana wakil rakyatnya ialah Saarani - menteri besar.

Perak juga sudah mempunyai undang-undang anti-lompat dan sebarang pembelotan akan mengakibatkan pilihan raya kecil.

PN telah meramalkan kejatuhan gabungan kerajaan perpaduan sejak awal tahun ini, dengan setiap pilihan raya sering disebut-sebut sebagai pemangkin kepada perubahan dalam pentadbiran.

Tiada ulasan: